JOHOR BAHRU – Seorang bapa tunggal dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan rompakan terhadap harta milik dua wanita, minggu lalu.
Abdur Razzaq Suppiah Abdullah, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di dua mahkamah berasingan.
Di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok, lelaki mualaf itu didakwa merompak harta milik seorang wanita warga Indonesia berusia 52 tahun iaitu beg, pasport republik Indonesia, telefon bimbit, cincin dan rantai tangan serta dompet kecil dan sederhana yang mana ketika melakukan rompakan itu, tertuduh menyebabkan cedera parah terhadap mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di lorong belakang sebuah kedai di Jalan Sri Putra 1, Bandar Putra, Kulai dekat sini, kira-kira jam 8.45 pagi, 4 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, tertuduh didakwa merompak wanita tempatan berusia 37 tahun iaitu beg sandang, dua kad pengenalan, kad bank, telefon bimbit dan wang tunai RM200.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis dobi layan diri di Jalan Impian Senai Utama, Taman Impian Senai, Kulai kira-kira jam 8.45 pagi, hari yang sama dengan kes pertama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun dan sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Maisarah Hassan, tidak menawarkan jaminan, namun mencadangkan RM20,000 jika mahkamah ingin membenarkan tertuduh diikat jamin.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin juga mencadangkan jaminan RM20,000 jika mahkamah berasa wajar tertuduh diikat jamin.
Abdur Razzaq yang tidak diwakili peguam memohon jaminan yang lebih rendah memandangkan menanggung anak tunggal berusia 12 tahun.
“Saya bekerja sendiri iaitu membaiki motosikal di rumah dengan gaji anggaran RM1,500 sebulan,” katanya.
Hakim Thalha dan Che Wan Zaidi membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM9,000 dan RM10,000 serta perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Dua kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Mei depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
BH ONLINE