Budak maut nahas, MPV dipandu bapa langgar lori rosak

MARAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut manakala lima ahli keluarganya parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki melanggar belakang sebuah lori di KM 164.7 Lebuhraya Pantai Timur, arah timur, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, berkata dalam kejadian jam 1.56 pagi tadi, Muhammad Al Amin Mohd Adil, yang duduk di hadapan kenderaan jenis Toyota Alphard, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, kenderaan berkenaan dinaiki mangsa bersama bapanya yang berusia 41 tahun, ibunya (42) dan tiga adiknya berusia 10, lapan dan setahun sembilan bulan.

“Keluarga itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Kuala Terengganu.

“Sebaik tiba di lokasi, kenderaan berkenaan dipercayai melanggar belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan pada bahagian tayar.

“Siasatan mendapati pemandu lori itu memberhentikan kenderaan untuk menukar tayar belakang kiri yang rosak dan kon keselamatan diletakkan di belakang sebagai tanda amaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Al Amin adalah murid Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti, Puchong, Selangor.

Susulan nahas itu, Kim Wai berkata, bapa, ibu dan tiga adik mangsa cedera parah serta dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan lanjut.

Pemandu lori berusia 35 tahun tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BH ONLINE