BINTULU – 11 keluarga dari rumah panjang Tuai Rumah Beji Utek di Daerah Sebauh tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang berkenaan musnah dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, kebakaran yang berlaku memusnahkan keseluruhan struktur bangunan rumah panjang tradisional kaum Iban jenis tidak kekal itu.
“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada jam 10.58 malam,” ujarnya.
Setakat ini katanya, kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuninya berjaya keluar lari menyelamatkan diri.
Menurutnya, pasukan bomba dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bergerak ke lokasi kejadian awal pagi ini nanti kerana mengambil kira akan aspek keselamatan.
“Ini kerana untuk sampai rumah panjang, pasukan bomba terpaksa melalui jalan kayu balak dan ladang kelapa sawit yang mengambil masa 3 jam perjalanan dari Bandar Bintulu,” jelas beliau.
Tambahan pula katanya, keadaan jalan yang agak gelap dan licin menyebabkan ianya tidak selamat untuk dilalui khususnya pada waktu malam yang mana mengundang berlakunya kemalangan.
Mujur katanya kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
Punca berlakunya kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami penduduk bagaimanapun masih lagi dalam siasatan.
Adalah difahamkan bahawa kesemua mangsa terjejas kini berteduh sementara di rumah sanak-saudara berhampiran sementara menunggu bantuan susulan tiba.
BH ONLINE