Category: Bahasa Melayu

  • Rumah panjang terbakar, 11 keluarga hilang tempat tinggal

    BINTULU – 11 keluarga dari rumah panjang Tuai Rumah Beji Utek di Daerah Sebauh tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang berkenaan musnah dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, kebakaran yang berlaku memusnahkan keseluruhan struktur bangunan rumah panjang tradisional kaum Iban jenis tidak kekal itu.

    “Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada jam 10.58 malam,” ujarnya.

    Setakat ini katanya, kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuninya berjaya keluar lari menyelamatkan diri.

    Menurutnya, pasukan bomba dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bergerak ke lokasi kejadian awal pagi ini nanti kerana mengambil kira akan aspek keselamatan.

    “Ini kerana untuk sampai rumah panjang, pasukan bomba terpaksa melalui jalan kayu balak dan ladang kelapa sawit yang mengambil masa 3 jam perjalanan dari Bandar Bintulu,” jelas beliau.

    Tambahan pula katanya, keadaan jalan yang agak gelap dan licin menyebabkan ianya tidak selamat untuk dilalui khususnya pada waktu malam yang mana mengundang berlakunya kemalangan.

    Mujur katanya kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

    Punca berlakunya kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami penduduk bagaimanapun masih lagi dalam siasatan.

    Adalah difahamkan bahawa kesemua mangsa terjejas kini berteduh sementara di rumah sanak-saudara berhampiran sementara menunggu bantuan susulan tiba.

    BH ONLINE

  • Pemandu lori tertimbus ditemui maut selepas hampir 19 jam usaha mengeluarkannya

    RANAU – Usaha menyelamatkan seorang pemandu lori yang membawa muatan tiang elektrik mengambil masa hampir 19 jam selepas treler yang dipandunya itu terbabas ke dalam gaung sedalam 50 meter di Kampung Nabutan, di sini, pagi semalam.

    Mangsa Mohd Raziman Sahrin, 30, akhirnya berjaya dikeluarkan 2.50 pagi tadi, bagaimanapun beliau yang ditemukan tertimbus dengan tanah disahkan meninggal dunia.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.41 pagi dan ketika tiba di lokasi didapati sebuah treler dengan muatan tiang elektrik jenis konkrit terbabas dan terjunam ke gaung.

    “Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu tertimbus di bawah treler. Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan kaedah mengorek tanah menggunakan peralatan khas namun gagal.

    “Pasukan bomba terpaksa menunggang bantuan kren dari Kota Kinabalu dan tiba kira-kira jam 6 petang. Kerja-kerja mengangkat treler dijalankan tetapi tidak berjaya dengan tiga kali percubaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, pada jam 7.50 malam, teknik diubah dengan mengalihkan tiang-tiang elektrik sebanyak 60 hingga 70 batang.

    “Seterusnya pasukan bomba dengan kaedah mengorek timbunan tanah menggunakan peralatan khas akhirnya mangsa berjaya dikeluarkan pada 2.50 pagi tadi.

    “Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Tambah beliau lagi, operasi penyelamatan dijalankan 13 anggota termasuk pegawai dengan disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), syarikat kren dan keluarga mangsa.

    “Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada 3.12 pagi,” katanya.

    BH ONLINE

  • Bom kereta membunuh 3, mencederakan 5 di Manbij Syria

    DAMSYIK – Sebuah bom kereta meletup pada Khamis di bandar Manbij di wilayah Aleppo, utara Syria, membunuh tiga orang dan mencederakan lima yang lain, lapor pemantau perang.

    Bom kereta itu meletup dekat Sekolah Zidan Hanizal di Manbij, menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

    Kejadian ini menandakan pengeboman besar ketiga di rantau ini dalam tempoh seminggu.

    Pada Selasa, letupan kuat dari peranti serupa menggegarkan kawasan dekat pangkalan digunakan oleh Tentera Nasional Syria disokong Türkiye di Manbij.

    Dua hari sebelum itu, satu lagi bom kereta membunuh dua pejuang daripada puak pro-Turki dan mencederakan teruk yang ketiga dekat kampung Kaber Saghir, juga di kawasan luar bandar timur Manbij.

    Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas letupan terbaru itu.

    XINHUA

  • Angka maut akibat kebakaran resort ski Turki meningkat kepada 78, 11 ditahan

    ANKARA, 23 Jan – Angka kematian akibat kebakaran di pusat peranginan ski Kartalkaya di Türkiye di barat laut wilayah Bolu meningkat kepada 78, dan 11 orang telah ditahan berhubung kejadian itu, kata Menteri Kehakiman Turki Yilmaz Tunc pada Khamis.

    Antara yang ditahan ialah timbalan datuk bandar Bolu yang bertanggungjawab bagi jabatan bomba, ketua bomba, dan pemilik serta pengurus hotel itu, kata Tunc di X, sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan.

    Kebakaran yang berlaku pada awal pagi Selasa, merebak dengan pantas melalui hotel kayu 12 tingkat itu. Siasatan awal menunjukkan kebakaran berpunca dari kawasan restoran di tingkat empat sebelum menyambar bahagian atas.

    Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan hari berkabung kebangsaan pada Rabu.

    Hotel ini menampung 238 tetamu semasa musim cuti yang sibuk.

    Kartalkaya ialah resort ski yang popular di pergunungan Koroglu, kira-kira 300 km timur Istanbul.

    XINHUA

  • Angka maut kemalangan kereta api India meningkat kepada 13 orang

    NEW DELHI, 23 Jan – Angka kematian dalam kemalangan kereta api di negeri barat India Maharashtra meningkat kepada 13 orang, kata polis pada Khamis.

    Menurut polis, 15 orang cedera dalam kemalangan itu, 10 daripadanya masih dirawat di hospital.

    Daripada 13 yang maut dalam kemalangan itu, polis setakat ini hanya dapat mengenal pasti lapan.

    Kemalangan itu berlaku petang Rabu selepas beberapa penumpang turun dari kereta api berikutan insiden penarikan rantai penggera. Mereka kemudiannya dilanggar oleh kereta api lain di Pachora daerah Jalgaon, kira-kira 425 km timur laut Mumbai, ibu kota Maharashtra.

    Siasatan awal polis berkata, seseorang telah menarik rantai penggera kereta api itu menyebabkan ia terhenti. Takut kebakaran di dalam kereta api, ramai penumpang turun ke landasan bersebelahan, tetapi dirempuh oleh kereta api lain yang lalu.

    Ketua Menteri Maharashtra Devendra Fadnavis melahirkan rasa dukacita atas kematian dalam kemalangan itu dan mengumumkan bantuan kewangan untuk mangsa.

    XINHUA

  • Jurusolek didakwa lakukan seks luar tabii ke atas pelakon remaja

    MELAKA – Seorang jurusolek lelaki dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas tuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang pelakon remaja lelaki di sebuah salun di Ayer Keroh, minggu lalu.

    Saril Sarip, 42, dari Durian Tunggal, Alor Gajah, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Haderiah Siri dan minta dibicarakan.

    Mengikut pertuduhan, Saril didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap penama berusia 18 tahun tanpa kerelaannya dengan meletakkan ketakutan kecederaan kepadanya.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di salun dandanan rambut milik tertuduh di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh pada 17 Januari lalu, kira-kira jam 4.15 petang.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat.

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi.

    Tertuduh yang diwakili peguam L Sharveen dan Chua Yong Yi, turut dikehendaki melapor diri setiap bulan di Balai Polis Durian Tunggal sehingga kes selesai.

    Peguam memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah dan tertuduh yang masih bujang serta memiliki kedai gunting rambut di Ayer Keroh, berpendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.

    Tertuduh juga perlu menyara ibu berusia 78 tahun yang menghidap darah tinggi dan penyakit usus serta menjaga kakak yang tidak bekerja.

    Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 berserta syarat seperti dipohon pendakwaan sementara menunggu perbicaraan selesai.

    Mahkamah menetapkan kes untuk sebutan semula pada 24 Februari depan bagi serahan dokumen.

    BH ONLINE

  • Guru lelaki tak mengaku peluk cium murid perempuan 10 tahun

    JOHOR BAHRU – Seorang guru sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan berusia 10 tahun, awal bulan lalu.

    Tertuduh, Aaron Wong Cheng Wen, 36, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual ke atas murid perempuan berusia 10 tahun secara memeluk badan dan mencium pipi kanan dan kiri mangsa.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik stor kelas reka bentuk dan teknologi, sebuah sekolah dekat Pasir Gudang, kira-kira jam 10.30 pagi, 1 Januari lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan sebat.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Pihak pendakwaan memohon mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan hingga selesai, melapor diri ke balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport ke mahkamah.

    Tertuduh yang berpendapatan RM6,000 sebulan kemudian memohon jaminan yang rendah kerana mempunyai tanggungan keluarga serta menanggung ibu bapa yang tidak bekerja.

    Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri ke balai polis berhampiran sekali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Januari ini bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

    BH ONLINE

  • Gula-gula Apple S disahkan ada racun berjadual

    PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan produk gula-gula jenama Apple S mengandungi racun berjadual yang tidak berdaftar dengan kementerian.

    KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mendapati produk terbabit mengandungi sibutramine iaitu sejenis ubat yang digunakan untuk mengawal selera makan.

    Katanya, sibutramine adalah sebatian kimia yang bertindak di otak sebagai penyekat rasa lapar atau selera makan yang digunakan dalam kebanyakan produk.

    KKM berkata, ia bertujuan menguruskan badan dan ubat terbabit tersenarai dalam bahan terlarang yang tidak lagi berdaftar dengan KKM.

    KKM berkata, ia bertujuan menguruskan badan dan ubat terbabit tersenarai dalam bahan terlarang yang tidak lagi berdaftar dengan KKM.

    “Antara kesan sampingan sibutramine yang dilaporkan adalah gangguan fungsi sistem jantung seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju (tachycardia) walaupun dalam keadaan rehat.

    “Selain kesan sampingan serius, berlaku juga kesan sampingan ringan seperti mulut kering, mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya,” katanya.

    BH ONLINE

  • 3 maut dalam perhimpunan besar untuk paket merah di ibu kota Kemboja

    PHNOM PENH, 23 Jan – Tiga orang maut dan enam lagi cedera pada Khamis semasa perhimpunan besar di Phnom Penh, ibu kota Kemboja, untuk paket merah yang diberikan oleh hartawan tempatan, kata pegawai.

    Insiden tragis itu berlaku kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan apabila orang ramai berkumpul untuk mendapatkan sampul merah yang diberikan oleh hartawan berpengaruh, Sok Kong, di rumah agamnya di Norodom Boulevard di daerah Duan Penh.

    Timbalan Gabenor Phnom Penh, Keut Chhe mengesahkan kejadian tragis dengan Xinhua, berkata orang yang cedera telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan perubatan.

    Pihak berkuasa tempatan berkata kejadian itu berkemungkinan berpunca daripada sesak nafas apabila sebilangan besar orang berhimpun di ruang yang padat.

    XINHUA

  • Trump menamakan semula Houthi sebagai organisasi pengganas

    WASHINGTON, 22 Jan – Presiden AS Donald Trump menandatangani perintah eksekutif pada Rabu untuk menamakan semula Houthi, kumpulan militan yang berpangkalan di Yaman, sebagai “Pertubuhan Pengganas Asing (FTO)”.

    Menurut lembaran fakta dikeluarkan oleh Rumah Putih, perintah eksekutif Trump membalikkan perintah yang dikeluarkan oleh Joe Biden empat tahun lalu yang mengeluarkan Houthi daripada senarai FTO, membatalkan perintah Trump yang dikeluarkan pada hari-hari terakhir penggal presiden pertamanya.

    “Akibat dasar lemah pentadbiran Biden, Houthi telah menembak kapal perang Tentera Laut AS berpuluh kali, melancarkan banyak serangan ke atas infrastruktur awam di negara rakan kongsi, dan menyerang kapal komersial yang transit di Bab al-Mandeb lebih daripada 100 kali,” White House berkata dalam helaian fakta.

    Perintah eksekutif Rabu mengarahkan Setiausaha Negara Marco Rubio mengesyorkan agar perkara itu berkuat kuasa dalam tempoh 30 hari.

    Berikutan itu, Trump akan mengarahkan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat, selepas ia melengkapkan semakan, “untuk menamatkan hubungannya dengan entiti yang telah membuat pembayaran kepada Houthi, atau yang telah menentang usaha antarabangsa untuk menentang Houthi sambil menutup mata terhadap keganasan dan penderaan Houthi.”

    XINHUA