China keluar amaran biru untuk Taufan Pabuk

BEIJING — Balai cerap negara China mengeluarkan amaran biru pada petang Isnin untuk Taufan Pabuk, yang dijangka membawa angin kencang dan hujan lebat ke wilayah selatan negara itu.

Taufan Pabuk, taufan ke-26 tahun ini, terletak 190 km di utara Terumbu Yongshu, sebahagian daripada Kepulauan Nansha di Laut China Selatan, pada jam 5 petang Isnin.

Ia diramalkan bergerak ke arah barat dan kemudian bergerak ke arah barat daya dengan kelajuan 5-10 km sejam.

Dijejas oleh taufan, angin ribut diramal melanda bahagian Laut China Timur, perairan timur Pulau Taiwan, Selat Taiwan, Selat Bashi, Teluk Beibu, Laut China Selatan, serta kawasan pantai Fujian, Taiwan , Guangdong dan Hainan dari 8 malam Isnin hingga 8 malam Selasa, kata pusat itu.

Sementara itu, ia berkata kawasan termasuk Xisha Qundao, Zhongsha Qundao dan Nansha Qundao dijangka mengalami ribut hujan lebat, dengan kerpasan mencecah antara 50 mm dan 80 mm.

Pusat itu menggesa pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan respons kecemasan taufan dan terus berjaga-jaga terhadap kemungkinan banjir dan bencana geologi.

China mempunyai sistem amaran cuaca berkod warna empat peringkat, dengan merah mewakili amaran paling teruk, diikuti dengan oren, kuning dan biru.

XINHUA