KOTA BHARU – Dua remaja perempuan tampil membuat laporan polis masing-masing mendakwa dirogol bapa dan bapa saudara dalam kejadian berasingan di Kuala Krai dan Tanah Merah, baru-baru ini.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata mangsa adalah dua remaja perempuan berusia 13 dan 14 tahun.
Kedua-dua mangsa mendakwa mereka menjadi mangsa rogol sejak tahun lalu.
“Mangsa mendakwa kejadian rogol berlaku beberapa kali. Bagi kes Tanah Merah, mangsa mendakwa dirogol bapa dan dua bapa saudara, manakala kes Kuala Krai pula didakwa dirogol bapa.
“Semua suspek yang berusia antara 30-an hingga 40-an itu sudah ditangkap selepas kita menerima laporan daripada mangsa. Sebelum ini mangsa takut untuk membuat laporan polis,” katanya.
Mengulas lanjut Mohd Yusoff berkata, mangsa sendiri tampil membuat laporan polis kerana mendapat kekuatan selepas membaca pendedahan kes rogol yang membimbangkan membabitkan remaja bawah umur di Kelantan.
“Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan. Kita menerima laporan yang dibuat sendiri oleh mangsa.
“Justeru, pihak polis menggesa mangsa dan ahli keluarga supaya tampil membuat laporan polis,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Polis Kelantan mendedahkan kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan kian membimbangkan dengan peningkatan kes yang berlaku setiap tahun, kebanyakannya membabitkan suka sama suka.
BH ONLINE