ASTANA, Kazakhstan — Elena Rybakina, pemain tenis terkemuka Kazakhstan, berjaya masuk ke senarai Forbes 30 Bawah 30 Asia, mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang atlet muda paling cemerlang di rantau Asia Pasifik.
Bintang tenis itu naik ke tempat ke-4 dalam ranking tenis dunia selepas memenangi Kejohanan Terbuka Itali di Rom pada 20 Mei lalu.
Senarai itu menampilkan 300 usahawan muda, pemimpin dan pelopor di seluruh rantau, semuanya berumur di bawah 30 tahun, yang melakukan perubahan positif dan memacu inovasi di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global dan persekitaran mencabar.
Rybakina adalah salah seorang daripada 30 penerima anugerah terkenal yang dipilih untuk kategori Hiburan & Sukan, lapor Forbes dalam satu kenyataan.
Senarai itu memaparkan sejumlah 10 kategori, masing-masing diwakili oleh 30 pemenang.
Lebih daripada 4,000 calon telah dinilai oleh pasukan Forbes Asia dan panel hakim pakar mengenai pelbagai faktor, termasuk pembiayaan dan/atau hasil, impak sosial, daya cipta dan potensi.
Rybakina menjadi pemain Kazakhstan pertama yang memenangi gelaran tenis utama apabila dia memperoleh kemenangan di kejohanan Wimbledon pada Julai 2022.
Pada Sabtu dia telah memenangi kejuaraan WTA 1000 keduanya pada Terbuka Itali 2023 di Rom selepas menewaskan Angelina Kalinina dalam perlawanan akhir.
Pada Mac tahun ini, dia telah memenangi kejuaraan WTA 1000 pertamanya di kejohanan Indian Wells di mana dia telah melakar kemenangan dalam perlawanan akhir ke atas pemain No. 2 dunia Arina Sabalenka dari Belarus ketika itu.
Pada awal tahun ini, bintang tenis berusia 23 tahun itu menyumbangkan sebahagian daripada pendapatannya daripada perlawanan kepada pemain tenis remaja dan program menyelamat anjing di Kazakhstan. WFMZ memetik sumber Kazakhstan Tennis Federation