KOTA BHARU — Menyedari bahawa usaha memupuk semangat patriotisme perlu bermula daripada sejarah, seorang pesara tentera membuka Galeri Anjung Pesona Wajah yang antara lain memaparkan gambar pejuang kemerdekaan negara.
Muhamad Awang, 76, berkata galeri yang dibuka di rumah pusaka arwah ibunya di Kampung Pendek di sini pada 2005 selepas beliau bersara, menampilkan lebih 5,000 bahan meliputi gambar, keratan akhbar dan buku berjilid tentang tokoh negara yang dikumpulnya sejak 1970.
“Gambar-gambar ini berkaitan dengan kesultanan Tanah Melayu, tentera, polis, ulama, penggiat seni dan salasilah tokoh penduduk di Kampung Pendek, selain peralatan perang yang boleh menjadi rujukan.
“Galeri ini juga diwujudkan sebagai satu usaha untuk mengenang jasa perwira negara termasuk Leftenan Adnan Saidi iaitu askar Tanah Melayu daripada Briged Infantri Satu yang bertempur dengan Jepun di Singapura selain Tok Janggut, Mat Kilau dan Datuk Bahaman,” katanya.
Bekas kapten tentera itu berkata tujuannya membuka galeri atau mini muzium itu adalah untuk menzahirkan rasa cinta kepada tanah air serta menjadikannya sebagai rujukan kepada generasi masa kini untuk mendapatkan maklumat sumber sejarah yang dipercayai.
Usaha Muhamad mewujudkan galeri itu ternyata tidak sia-sia apabila mendapat pengiktirafan daripada Perbadanan Muzium Negeri Kelantan yang melantik Galeri Anjung Pesona Wajah sebagai rakan strategik dalam merealisasikan misi dan visi muzium pada 2020.
“Galeri ini juga menjadi tumpuan dalam kalangan penuntut bidang ketenteraan dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) membuat penyelidikan,” kata bapa kepada enam cahaya mata itu yang berkhidmat selama 31 tahun dalam tentera.
Menyentuh tentang kibaran Jalur Gemilang, Muhamad yang pernah menjadi Ketua Unit Kesatria Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor berkata bagi memupuk semangat cintakan negara, kerajaan perlu melihat semula sukatan mata pelajaran Sejarah bagi menarik minat murid.
“Sekarang kita perlu menyemai minat itu mengikut kaedah terkini yang orang muda suka termasuk memasukkan elemen sejarah dalam media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram,” katanya.
Selain itu, beliau berkata perlu ada ketegasan daripada kerajaan, misalnya mewajibkan pemasangan Jalur Gemilang di premis perniagaan dan mengambil tindakan denda atau menarik lesen perniagaan jika peniaga gagal berbuat demikian.
“Orang awam juga boleh memasang Jalur Gemilang di rumah masing-masing selain disarankan melekatkannya pada kenderaan sebagai tanda peringatan negara kita sudah merdeka buat kali ke-66,” katanya.
BH Online memetik Bernama