Guru lelaki tak mengaku buat amang seksual terhadap murid lapan tahun

KOTA BHARU – Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak murid lelaki berusia lapan tahun di Bachok, akhir tahun lalu.

Tertuduh, Rozaidi Ab Ghani, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah didakwa dengan maksud seksual melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.

Perbuatan terkutuk itu dilakukan antara hujung tahun 2024 hingga 27 Mac lalu di dalam bilik tidur sebuah rumah di Bachok dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a), 14(b), dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama kerana tertuduh mempunyai hubungan amanah dengan mangsa.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Azura Ghazali.

Terdahulu Ahmad Faiz mencadangkan jaminan RM12,000 bagi setiap pertuduhan, namun Azura memohon jaminan paling minimum memandangkan anak guamnya sudah berkhidmat selama 17 tahun sebagai guru dan pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada 2018.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melaporkan diri setiap awal bulan di balai polis berdekatan.

Mahkamah turut menetapkan 15 Mei depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

BH ONLINE