Koperal polis ditemukan mati dalam kuarters

KUANTAN – Seorang anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat koperal ditemukan meninggal dunia dalam rumahnya di Kem Galing di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asistem Komisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata pihaknya menerima maklumat pada 11 malam dengan mangsa berusia 42 tahun dipercayai telah meninggal dunia antara tiga ke empat hari lepas.

“Mangsa ditemukan duduk di sofa di ruang tamu rumah di tingkat enam kuarters kem berkenaan. Lelaki itu tinggal bersendirian dan ditemukan oleh dua rakan yang mencarinya bagi tugasan operasi hari ini.

“Pintu rumah terpaksa dipecahkan selepas mangsa gagal menjawab telefon. Pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan atau perlakuan jenayah pada badan mangsa,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, adik mangsa memaklumkan abangnya menghidap hipertensi dan pernah diserang angin ahmar pada dua tahun lepas serta masih mengambil ubat bagi penyakit tersebut.

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

BH ONLINE – BERNAMA