Mahkamah Persekutuan tolak semakan Kerajaan Perlis kembalikan status agama Islam kepada tiga anak Siew Hong

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan semakan kes oleh kerajaan negeri Perlis, untuk mengembalikan status agama Islam kepada tiga anak Loh Siew Hong.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, secara sebulat suara memutuskan pemohon gagal memenuhi syarat ambang yang diperlukan untuk membolehkan semakan oleh mahkamah tertinggi itu.

“Kami tidak menemui sebarang ketidakadilan dalam keputusan itu. Permohonan (untuk semakan) ini tiada merit,” katanya.

Semakan kes itu menjadi usaha terakhir Kerajaan Perlis dalam kes itu.

Dua lagi anggota panel adalah Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 30 Oktober lalu, Kerajaan Perlis memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan sebagai usaha mengembalikan status agama Islam tiga anak ibu tunggal, Loh Siew Hong.

Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, ketika dihubungi mengesahkan permohonan semakan difailkan semalam mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Beliau berkata, Kerajaan Perlis memberikan kebenaran kepadanya untuk memulakan permohonan semakan bagi pihak mereka.

Peguam Siew Hong, Dr Shamsher Singh Thind, ketika dihubungi berkata, mahkamah menetapkan 29 November ini untuk pengurusan kes bagi permohonan semakan itu.

Dalam notis permohonan yang diperoleh Bernama, kerajaan negeri memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan sebelum ini, yang menolak kebenaran merayu permohonan yang difailkan oleh kerajaan negeri dan tiga pihak lain.

Permohonan itu ditolak pada 14 Mei lepas, menghalang pemohon termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pendaftar mualaf Negeri Perlis, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin daripada meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 10 Januari.

Mahkamah Rayuan telah membatalkan penukaran agama tiga anak Siew Hong kepada Islam dan mengisytiharkan mereka beragama Hindu.

Dalam permohonan semakan itu, kerajaan negeri menyatakan bahawa keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah menjejaskan hak mereka untuk didengar, dan mereka sedang memohon pendengaran semula permohonan kebenaran merayu.

Pada 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Siew Hong untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam.

Siew Hong, 37, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 25 Mac 2022, memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya yang beragama Hindu dan bekas suaminya, M Nagahswara, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya.

Tiga kanak-kanak itu yang diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), diserahkan kepada Siew Hong pada 21 Februari 2022 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.

BH ONLINE