TUMPAT — Pembantu Perawatan Kesihatan di sebuah hospital di sini meneruskan kembara solo jelajah ke lapan negeri di semenanjung Malaysia sempena Hari Kebangsaan ke-66.
Kembara solo oleh Halim Hamid, 47, yang memasuki tahun kesembilan akan memakan masa selama 10 hari membabitkan jarak perjalanan sejauh 3,500 kilometer (KM).
Halim berkata, dia sudah membuat persiapan rapi sejak sebulan lalu termasuk menyelenggara skuter jenis Modenas Elegant 150 miliknya yang berusia 17 tahun.
“Saya menghabiskan kira-kira RM1,000 untuk menyelenggara skuter ini bagi mengelakkan berlaku kerosakan besar semasa pengembaraan nanti.
“Jika tahun lalu saya mengembara sejauh 3,000 KM tapi kali ini jaraknya akan bertambah kerana ingin melalui beberapa jalan yang belum pernah dilalui sebelum ini,” katanya ketika ditemui sebelum pelepasan di perkarangan Balai Polis Wakaf Bharu, di sini.
Pelepasan Halim yang juga Sukarelawan Simpanan Polis (SSPDRM) Kelantan dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah dan Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah.
Halim menerima tajaan petrol dari pihak Petronas Pasir Pekan dan penginapan daripada beberapa kenalan serta sumbangan peribadi ADUN Wakaf Bharu bagi menampung kos dan perbelanjaan sepanjang menjayakan misi kembara solonya.
“Lokasi pertama jelajah saya adalah di kampung halaman arwah bapa di Maran, Pahang sebelum meneruskan perjalanan ke negeri lain kecuali Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
“Saya juga akan ke destinasi wajib iaitu Bukit Kepong, Johor yang juga tempat bersejarah dan kemuncaknya di Ipoh, Perak untuk sambutan ambang merdeka nanti,” katanya.
Halim berkata, selain penyelenggaraan kenderaan, dia juga sudah berhubung dengan kenalan di setiap negeri bagi memaklumkan pergerakannya sebagai langkah keselamatan sekiranya dia berdepan dengan sebarang kesulitan.
“Perjalanan hanya dilakukan waktu siang sahaja kerana faktor keselamatan disebabkan pernah berdepan dengan insiden hampir diragut serta gangguan mistik pada waktu malam,” katanya yang dijangka tiba di Kelantan pada 2 September ini.
BH Online