DUNGUN – Polis menahan seorang bomoh lelaki berusia 20 tahun pada malam Sabtu lalu selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan dipercayai terkena sihir yang dirawatnya di rumah mangsa pada 31 Januari lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairil Khairudin, berkata suspek ditahan di Kerteh pada kira-kira jam 10.20 malam selepas menerima aduan kes itu daripada ibu bapa mangsa yang dibuat di Balai Polis Kemaman.
Beliau berkata, sebelum kejadian, ibu bapa mangsa memaklumkan kepada bomoh itu berhubung anak mereka yang berusia 11 tahun dipercayai terkena sihir untuk berubat dengan bomoh terbabit.
“Bomoh itu kemudian datang ke rumah mangsa pada kira-kira jam 1 pagi 31 Januari lalu untuk mengubat kanak-kanak terbabit.
“Selepas acara perubatan itu, mangsa mengadu kepada ibu bapanya yang dia dicabul bomoh itu,” katanya selepas merasmikan Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) Ke 2 Kontinjen Terengganu di Teluk Lipat, hari ini.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan.
Mohd Khairil berkata, suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman untuk mendapat perintah reman selama tujuh hari berakhir Sabtu ini.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kanak-kanak 2017 yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
“Kes kanak-kanak ini adalah yang pertama akan menggunakan CIC di Dungun ini sebagai satu daripada prosedur dalam melengkapkan kertas siasatan.
“Polis memandang serius kejadian itu dan menasihatkan orang ramai melaporkan sebarang kegiatan jenayah yang berlaku untuk tindakan lanjut polis,” katanya.
BH ONLINE