MACHANG — Pengusaha Cendol Suloo menghasilkan 60 kilogram (kg) cendol sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan sepanjang Ramadan ini.
Mohd Irwan Sharifuddin, 34, berkata setiap kali Ramadan, permintaan terhadap cendolnya meningkat hingga enam kali ganda berbanding hari biasa sekitar 10kg sahaja.
“Setiap hari saya mengadun campuran tepung sagu dan tepung beras sebanyak 20kg untuk mendapat 700 bungkusan cendol bagi memenuhi permintaan pemborong dan ejen di negeri ini.
“Saya mula menyediakan bahan untuk membuat cendol seawal 11 malam hingga 5 pagi dan proses paling lama adalah mengacau adunan atas api perlahan selama empat jam supaya ia sebati,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulai Chondong.
Bapa kepada dua cahaya mata berusia empat dan enam tahun itu berkata, sebaik cendol siap diproses, tiga pekerjanya akan membantu membungkus cendol sebelum pemborong dan ejen datang mengambilnya.
“Cendol yang dicampur dengan santan mampu bertahan hingga seminggu sekiranya disimpan di dalam peti sejuk,” katanya yang ‘berguru’ di Hatyai, Thailand pada 2016.
Menurutnya, dia mula berniaga cendol pada 2010 selepas berhenti kerja kerana mahu pulang ke kampung halaman.
Sejak itu dia serius menjual cendol dan pada waktu itu hanya mengambil cendol yang sudah siap diproses daripada pengusaha cendol di sekitar Machang.
“Bagaimanapun, lama-kelamaan saya melihat generasi terdahulu yang mahir membuat cendol kebanyakan sudah tidak mampu untuk memprosesnya dan bagi meneruskan perniagaan cendol saya mengikuti kursus membuat cendol di Hatyai.
“Pada awalnya saya beberapa kali mencuba untuk memproses cendol, tetapi gagal namun tidak pernah berputus asa.
“Alhamdulillah atas berkat kesabaran, kini tekstur cendol yang dihasilkan sangat lembut dan kebanyakan pelanggan menyukainya,” katanya. BH