Rumah tradisional lebih setengah juta ringgit terapung di Tasik Kenyir

Minat mendalam terhadap seni bina rumah tradisional Melayu, seorang warga emas membelanjakan RM620,000 membeli dan mengubah suai rumah bot di Tasik Kenyir.

Tuan Ahmad Tuan Abdullah, 64, dari Kampung Pauh, dekat Kuala Berang (Terengganu), berkata, dia membeli rumah bot dengan harga RM220,000 sebelum mengubah suai dengan reka bentuk rumah tradisional Melayu dengan kos RM400,000.

Proses ubah suai dengan bantuan beberapa pekerja dilakukan sejak April lalu menggunakan 10 tan kayu cengal.

Beliau yang mesra disapa Pak Tun berkata, ukiran rumah bot bermotifkan awan larat manakala di bahagian hadapan bercirikan limas, ciri-ciri rumah Terengganu lama.

Katanya, di ruang belakang bercirikan rumah teler, juga ciri rumah tradisional dengan hiasan dinding janda berhias.

Tuan Ahmad berkata, binaan rumah bot lapan bilik itu menggunakan keseluruhan kayu cengal dengan panjang 30 meter dan lebar lapan meter.

Selain rumah bot, dia turut mempunyai 18 rumah binaan tradisional yang dijadikan inap desa.

Datuk kepada 10 cucu itu berkata, rumah bot sekiranya hendak dibina baharu memerlukan kos sebanyak RM1.5 juta dan baginya membina baharu mudah berbanding ubah suai.

Tuan Ahmad turut memaksimumkan panjang bot bagi memberi keselesaan kepada penumpang dan berharap usaha itu dapat membantu mempromosikan sektor pelancongan negeri.

BH Online