Udang galah atau nama saintifiknya Macrobrachium rosenbergii adalah sejenis udang air tawar. Di Malaysia, bagi sesetengah orang, ia digelar sebagai sepit biru, kerana sepitnya yang berwarna biru (agak menonjol dan menarik perhatian).
Menurut informasi Wikipedia, spesies ini mendiami pelbagai kawasan air tawar dan sekali-sekala habitat air payau bermula dari alur anak sungai kecil dan kolam sehingga sungai, tasik dan muara.
“Udang ini boleh ditemui di kawasan tropika dan subtropika di rantau Indo-Pasifik, dari India ke Asia Tenggara dan Australia Utara. Ia adalah haiwan omnivor dan mempunyai kecenderungan untuk aktif pada waktu malam.
“Malaysia adalah negara pertama yang menemui cara-cara untuk menternak udang galah pada era 1960-an.
“Ini menyebabkan banyak negara asing memberi nama timangan kepada udang galah sebagai Udang Malaysia.
“Namun kini penghasilan udang galah di Malaysia lebih rendah berbanding dengan negara-negara lain seperti Bangladesh, Vietnam, Thailand, China, Indonesia dan Taiwan.
“Pengeluar udang galah terbesar di dunia adalah China diikuti Bangladesh. Negara seperti Vietnam, Thailand, Taiwan dan Indonesia juga menghasilkan udang galah lebih banyak daripada Malaysia,” demikian menurut tapak web itu.
Di Malaysia, antara sungai selalu diperkatakan sesetengah orang bagi spesies ini seperti di Rompin, Linggi dan Sungai Bernam. Tidak terkecuali sungai lain termasuk Sungai Kelantan, yang keruh pekat airnya.
Di Sungai Bernam misalnya, kaki pancing mula mengunjungi kawasan ‘lubuk’ yang bersempadan negeri Perak dan Selangor untuk mendapatkannya.
Laporan Berita Harian 13 Januari 2023 dipetik, Pengerusi Persatuan Pencinta dan Sahabat Sungai Daerah Muallim, Shaharin Samsuddin, berkata setiap tahun bermula Januari hingga Februari ramai kaki pancing akan bertumpu di sungai itu.
Menurutnya, sungai itu terkenal kerana mempunyai udang galah sepit biru bersaiz besar.
“Ketika ini, ramai kaki pancing sama ada siang atau malam akan mengunjungi kawasan lubuk sungai bagi memancing udang berkenaan.
“Kawasan lubuk sungai yang mempunyai pokok atau dahan kayu mati, dipercayai mempunyai banyak udang galah,” katanya sebagaimana dipetik.
Ada dua cara biasa dilakukan bagi menangkap sepit biru iaitu dengan menebar jaring dari permukaan air sungai dan memancing. Aktiviti memancingnya agak sentimental dan benar-benar menguji kesabaran. Tetapi apabila dapat menaikkannya, seronok tidak terkata.
Dengan isinya yang manis dan pejal, spesies ini sentiasa mendapat perhatian. Lazimnya di Malaysia, ia dimasak lemak kuning — membangkitkan selera sesiapa terhidang dengan menu ini.
Oleh kerana permintaannya sentiasa ada dan tidak jemu kepada penggemarnya, harganya tinggi di pasaran malah bagi saiz besar dikatakan boleh cecah kira-kira RM80 sekilogram.
Justeru tidak hairanlah jika di restoran atau gerai jualan di Kuala Lumpur, dengan udang galah saiz sederhana siap digoreng atau digulai kari, harganya lebih RM10 seekor — membuatkan banyak mata terbeliak dan menelan air liur saja, apatah lagi selepas membandingkan harga dan saiznya dengan seketul ayam goreng.