TAWAU – Tujuh ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes merusuh dan khianat di hadapan sebuah kafe, dekat Jalan Haji Karim, di sini, awal pagi kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Champin Piuh berkata penahanan itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah diketuai Inspektor James Paran di beberapa lokasi sekitar daerah ini antara jam 2.50 pagi hingga 8 malam tadi.
Katanya, semua suspek berusia 20 hingga 46 tahun yang membabitkan dua kumpulan itu dipercayai terbabit dalam pergaduhan kira-jam 5.46 pagi di kafe terbabit sehingga mengakibatkan kerosakan di situ.
“Hasil semakan rekod lampau mendapati tiga daripada suspek berkenaan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah manakala empat lagi tiada rekod jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini satu rakaman video berdurasi satu minit dan 23 saat viral yang memaparkan seorang lelaki menyerang seorang individu yang sedang duduk di dalam sebuah kafe sehingga tercetus pergaduhan.
Beberapa pelanggan turut dilihat cuba meleraikan pergaduhan itu, namun berlaku tumbuk menumbuk dan membaling kerusi sehingga ke kawasan luar premis itu.
Champin berkata semua suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali.
BH ONLINE