Rezeki Ramadan: Air balang 6 dara, tekad 6 wanita cari pendapatan tambahan

KOTA BHARU, Kelantan — Enam sahabat nekad menjual air balang enam dara di Jalan Pengkalan Chepa, di sini bermula 1 Ramadan bagi mencari pendapatan tambahan.

Nur Ain Sebaweh, 22; Noor Ain Syahira Mohd Yusoff, 26; Nor Fatihah Ismail, 27; Nur Ain Abdul Manaf, 28; Syarifah Nur Syahirah Syed Sabri, 30, dan Syamsherra Mat Nasir, 34, menyahut cabaran untuk berniaga walaupun masing-masing tidak mempunyai pengalaman.

Berbekalkan tekad menambah pendapatan tambahan, mereka mengumpul modal dan berpakat untuk berniaga di tepi jalan meskipun masing-masing sudah mempunyai pekerjaan dengan lima daripadanya perunding kewangan dan seorang wartawan.

Air yang dijual enam sahabat berkenaan termasuk air keladi, teh bunga, teh ais, ribena laici, milo dan susu karamel.

Antara yang menyebabkan gerai mereka menjadi perhatian pengunjung adalah bagi setiap pembelian tiga air akan mendapat satu air percuma dan harga setiap satu plastik air yang dijual adalah RM5.

Nur Ain berkata, sejak beberapa bulan sebelum Ramadan, mereka sudah mula berfikir dan merancang untuk mencari pendapatan tambahan memandangkan kos sara hidup semakin meningkat.

Katanya, memandangkan mereka tidak mempunyai pengalaman berniaga, mereka memilih untuk menjual aneka air yang dinamakan air balang enam dara kerana berasakan ia lebih mudah berbanding menu lain.

“Nama air balang enam dara tercetus memandangkan kami mahu menjual sebanyak enam balang. Disebabkan lima daripada kami belum berkahwin, kami namakan sebagai air balang enam dara.

“Alhamdulillah walaupun ini pengalaman pertama kami, ianya berjalan lancar dan lebih mudah apabila waktu kerja kami agak fleksibel dan mana-mana yang berkelapangan akan turun ke lapangan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, walaupun sambutan pada hari pertama Ramadan kurang memberangsangkan, namun hasil jualan semakin meningkat dari hari ke hari sehingga semalam.

“Alhamdulillah nampaknya orang sudah mula perasan kewujudan gerai air balang enam dara kerana pengunjung semakin ramai saban hari.

“Ini membuatkan kami terus bersemangat untuk mencari pendapatan tambahan bagi menampung kehidupan,” katanya.

Sementara itu, Syarifah Nur Syahirah pula memaklumkan mereka bercadang untuk meneruskan jualan air balang selepas ini di lokasi yang dirasakan sesuai.

“Mungkin kami akan berniaga di majlis-majlis tertentu atau tapak expo selain berniaga di waktu malam selepas habis waktu bekerja.

“Justeru, kita mengharapkan orang ramai memberi sokongan dengan membeli air balang sepanjang Ramadan ini,” katanya. BH