TAIF, Arab Saudi — Selepas berjalan kaki sejauh 700 kilometer merentasi padang pasir dalam tempoh 13 hari, penjelajah British — Mark Evans dan pasukannya tiba di Istana Shoubra yang bersejarah di Taif pada Jumaat.
Saudi Press Agency (SPA) melaporkan pada Sabtu, Evans dan pasukannya melawat halaman istana dan kandang kuda, di sebelahnya terdapat tempat untuk perkhidmatan istana seperti bilik untuk memasak, minyak wangi, menjahit, tukang emas, katering dan kawalan panggilan berpusat.
Pasukan itu dilaporkan kagum dengan seni bina asal istana, bentuk dan hiasan geometri pada dindingnya, pencahayaan koridor dan pintu serta tingkap kayu Arab yang asli.
Istana Shoubra dibina selama dua bulan pada 1905. Reka bentuknya diilhamkan oleh sebuah istana di daerah Shoubra di Kaherah.
Seni binanya adalah gabungan gaya Islam dan Rom, dengan pengaruh wilayah Hijaz terutama jelas pada gerbang, tiang, pintu, tingkap dan siling istana.
Istana ini mempunyai kira-kira 150 bilik dan dua pintu masuk, yang utama di sebelah baratnya dan satu lagi di sebelah timur.
Dewan utamanya menempatkan tangga alabaster berkembar yang naik ke dua suite di tingkat atas.
Tempat bersejarah itu pernah menjadi ibu pejabat kerajaan Saudi apabila ia berpindah ke Taif pada musim panas ketika pemerintahan Raja Abdulaziz.
Sewaktu pemerintahan Raja Faisal, istana menjadi pusat Kementerian Pertahanan dan Penerbangan, sebelum ia diubah menjadi muzium pada 1987.
Evans melawat beberapa lokasi bersejarah ikonik Arab Saudi dalam pengembaraan Heart of Arabia beliau, yang mengikut jejak langkah mendiang penjelajah British — Jack Philby (juga dikenali sebagai Abdullah selepas memeluk Islam).
Pasukan itu telah menyeberangi pergunungan Qiddiya melalui Darb Al-Manjur menuju Dhurma, menghabiskan masa sehari di Nafud Dalqan, kawasan yang dibezakan oleh bukit pasir membentuk lengkungan keemasan, diselangi dengan jenis tumbuhan liar di lereng.