Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, atap singgora terus jadi pilihan

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, atap singgora terus jadi pilihan
Noraini Jusoh menunjukkan proses menghasilkan atap bata atau atap singgora pada Program Musing Ketang@Kampung Budaya Terengganu (KBT) di Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

KUALA TERENGGANU — Biarpun atap genting menjadi pilihan, ia bukan halangan untuk satu-satunya pengeluar tunggal di negara ini meneruskan legasi menghasilkan atap bata atau atap singgora.

Atap singgora diperbuat 100 peratus daripada tanah liat sebelum dipotong mengikut ukuran ditetapkan.

Pengusahanya, Noraini Jusoh, 57, dari Kampung Pengkalan Baru, Beris Kubur Besar, Bachok, Kelantan, berkata dia juga generasi kelima yang mengusahakan atap singgora selepas mewarisi daripada ibunya sejak lebih 20 tahun lalu.

“Walaupun pada masa ini orang ramai lebih terarah kepada atap genting, namun setakat ini saya juga tidak putus-putus menerima tempahan.

“Kebanyakan tempahan adalah daripada penggiat kraf yang masih mahu menggunakan atap singgora,” katanya.

Noraini ditemui selepas pada Program Musing Ketang Kampung Budaya Terengganu (KBT) di Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) yang diadakan selama tiga hari bermula semalam.

Noraini berkata, dia berdepan cabaran apabila lima pekerjanya terdiri daripada yang sudah berusia.

Menurutnya, setiap hari sebanyak 1,000 keping bata mampu dihasilkan sebelum proses membakar sekurang-kurangnya mengambil masa 10 hari.

“Selagi kudrat saya kuat, saya tidak akan berhenti menghasilkan atap bata, malah setakat ini juga saya menerima banyak tempahan dari beberapa negeri yang mahukan dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, dia menjual atap singgora dengan harga RM1 sekeping dan kini anak bongsu, Norsyahirah Hassan, 22, menunjukkan minat dalam bidang ini.

“Saya sedikit lega perusahaan ini tidak terhenti setakat ini sahaja, malah akan diteruskan anak bongsu pada masa depan,” katanya.

BH Online