Pengusaha akok di Kampung Gong, Pulai Chondong, Machang (di Kelantan), memperoleh limpahan rezeki Ramadan apabila mampu menjual sehingga 1,000 biji akok setiap hari.
Nik Hasnah Nik Hassan, 44, berkata, pada hari biasa akok hanya mampu terjual antara 200 hingga 400 biji sehari dan meningkat dua kali berganda pada Ramadan menyebabkan tidak menang tangan.
Katanya, pada hari biasa, dia hanya dibantu suami, Nasir Samat, 47, untuk membakar akok, namun sepanjang Ramadan dia dibantu lapan pekerja.
“Seawal jam 6.30 pagi kami sudah mula bekerja untuk proses penyediaan dan membakar akok bagi pelanggan yang datang membelinya di kedai selain memenuhi tempahan daripada jabatan kerajaan.
“Jualan akok mereka mendapat sambutan menggalakkan sekali gus memberi peluang kepada kami untuk menambah pendapatan sepanjang Ramadan ini,” katanya.
Ibu kepada tiga anak berusia antara 14 hingga 21 tahun ini berkata, akok yang dijual itu adalah resipi diolahnya sendiri sejak mula berniaga sembilan tahun lalu.
“Bagi penyediaan akok sepanjang Ramadan, sebanyak 2,500 telur diperlukan setiap hari selain 300 kelapa dan kismis bagi menyedapkan lagi rasa akok selepas ia siap dimasak.
“Rata-rata pelanggan yang pernah mencuba akok ini memuji rasa akok bunga kismis kerana ia berbeza dengan akok biasa dijual,” katanya.
Nik Hasnah berkata ada caranya bagaimana membakar akok bagi mengelak hangus atau tidak masak.
“Walaupun proses untuk membakar akok pandan itu memang nampak senang, tetapi sebenarnya ia perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan kuih itu menepati cita rasa pelanggan.
“Bermula tahun lalu, saya terpaksa menaikkan harga akok daripada RM5.50 kepada RM6 sebiji disebabkan kenaikan harga barang, namun mujurlah pelanggan memahaminya,” katanya. BH