Sekurang-kurangnya 5 maut, 200 cedera dalam rempuhan kereta di pasar Krismas Jerman

BERLIN – Sekurang-kurangnya lima orang maut dan lebih 200 lagi cedera selepas sebuah kereta merempuh orang ramai di pasar Krismas Jerman di tengah bandar Magdeburg pada petang Jumaat, lapor agensi berita Jerman dpa Sabtu, memetik Perdana Menteri Reiner Haseloff.

“Kami mempunyai lima kematian dan lebih 200 kecederaan, kebanyakannya serius dan teruk,” kata Haseloff sambil menyatakan jumlah korban jauh lebih teruk daripada yang disangkakan ketika kejadian itu berlaku.

Sebuah kereta merempuh pasar Krismas di Magdeburg pada petang Jumaat.

Pihak berkuasa Jerman sedang menyiasat seorang doktor berusia 50 tahun dari Arab Saudi yang tinggal di Jerman sejak 2006 dan bekerja di bandar berdekatan. Polis menggeledah rumahnya semalaman.

Identiti mangsa yang maut belum didedahkan. Upacara peringatan akan diadakan di katedral Magdeburg pada 7 malam (1800 GMT) Sabtu.

Canselor Jerman Olaf Scholz dan pegawai tinggi lain, termasuk Menteri Dalam Negeri Persekutuan Nancy Faeser, telah tiba di Magdeburg pada Sabtu.

Faeser mengarahkan pagi Sabtu supaya semua bendera di semua bangunan persekutuan dikibarkan separuh tiang di seluruh negara.

XINHUA