KUALA TERENGGANU — Paras air sungai yang cetek sehingga paras lutut di sekitar Pulau Duyong, dekat sini, memberi rezeki berganda kepada penduduk untuk mencari etok.
Malah kebanjiran luar biasa hidupan air ini dengan nama saintifiknya, corbicula fluminea itu menyaksikan ratusan penduduk membanjiri kawasan berkenaan pada setiap hari di situ.
Tinjauan di Kampung Hujung Tanjung mendapati kawasan berkenaan bagaikan pesta sejak tiga minggu lalu yang bukan sahaja dikunjungi penduduk setempat, malah juga di luar daerah berkenaan.
Lebih menarik, pelbagai kaedah digunakan penduduk termasuk menggunakan penutup kipas, bakul basikal dan alat yang direka khas bagi mengaut etok dari dasar sungai berkenaan.
Seorang penduduk di pulau itu, Mohd Roma Ali, 52 berkata, dia teruja kerana mampu mengaut etok dengan jumlah yang lebih banyak pada bulan ini berbanding sebelumnya.
Malah, dia yang menjadikan mencari etok itu sebagai pekerjaan utamanya kini mampu mengaut makanan itu sehingga 50 kilogram (kg) sehari sebelum dijual kepada penduduk setempat dan penggemar.
“Etok ini sentiasa ada di dasar sungai Kampung Hujung Tanjung ini, tapi bermula akhir Julai hingga bulan kemerdekaan ini ia semakin banyak dan begitu luar biasa.
“Kebiasaan saya dapat antara 20 kg sehari selama dua jam mencari pada bulan lain. Tapi pada kali ini etok semakin banyak, saya mampu mengaut lebih 50 kg sehari selama dua jam bermula jam 5 petang.
“Air sungai yang surut antara faktor yang membantu kami mendapat lebih banyak etok. Saya membuat sendiri alat untuk mengaut.
“Sebaik naik ke darat, isteri saya, Sakinah Kamaluddin dan anak, Afifi akan menjual kepada penggemar makanan ini dengan harga antara RM5 hingga RM6 kg mengikut saiz,” katanya ketika ditemui semalam.
Bagi Mohd Fahmi Amran, 24, dia mampu mendapat sebanyak 25 kg sehari selama dua jam mencari makanan itu bermula selepas waktu asar.
“Etok ini ada sepanjang tahun, tapi dalam jumlah yang sedikit. Tapi pada kali ini, ia begitu banyak. Ffenomena etok ini berlaku antara lapan hingga sepuluh tahun sekali, terakhir pada 2015.
“Saya bersama lebih 100 pencari etok hanya berjalan kaki mengautnya dengan menggunakan sejenis alat memandangkan air sungai cetek,” katanya ketika ditemui.
BH Online