Tag: machang

  • Sanggup bayar RM30 untuk 4 biji buah nadir, binjai

    Sanggup bayar RM30 untuk 4 biji buah nadir, binjai
    Seorang penjaja, Muhamad Akram menunjukkan binjai yang dijual di gerainya di Machang, Kelantan – Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
    Seorang penjaja, Muhamad Akram menunjukkan binjai yang dijual di gerainya di Machang, Kelantan - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi

    Musim buah binjai setahun sekali antara bulan Ogos hingga September menjadi rezeki tambahan kepada peniaga kecil di sekitar daerah Machang, Kelantan.

    Terdapat berderet gerai sepanjang Jalan Machang-Kuala Krai menjual buah nadir berkenaan berikutan mendapat permintaan tinggi sekali gus membantu peniaga kecil meraih pendapatan tambahan.

    Peniaga buahan, Mahadi Daud, 28, berkata buah berkenaan ada yang masam dan manis.

    Kulitnya berwarna coklat atau kuning manakala isinya berwarna putih. Ia dijual antara RM10 hingga RM20 sekilogram.

    Setiap kali musim binjai masak, Mahadi tutup kedai makannya dan memberi tumpuan kepada jualan buah itu.

    “Buah ini sedap dimakan segar sekiranya manis tapi jika masam ia sesuai dibuat jeruk atau masakan.

    “Kebanyakan pelanggan yang datang membeli buah binjai di gerai saya adalah mereka yang menggemari buah ini selain ada juga yang kali pertama mencuba,” katanya ditemui di gerainya di Batu 30, hari ini.

    “Ada juga buah binjai yang diproses menjadi jeruk dan dijual pada harga RM20 sebotol.

    Seorang lagi peniaga berkata, sebelum ini pernah harga jualan binjai mencecah RM30 untuk empat biji, namun sekarang RM20 sekilogram kerana buah binjai banyak di pasaran.

    BH Online

  • Resipi Ramadan: Berguru di Hatyai ilmu buat cendol

    MACHANG — Pengusaha Cendol Suloo menghasilkan 60 kilogram (kg) cendol sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan sepanjang Ramadan ini.

    Mohd Irwan Sharifuddin, 34, berkata setiap kali Ramadan, permintaan terhadap cendolnya meningkat hingga enam kali ganda berbanding hari biasa sekitar 10kg sahaja.

    “Setiap hari saya mengadun campuran tepung sagu dan tepung beras sebanyak 20kg untuk mendapat 700 bungkusan cendol bagi memenuhi permintaan pemborong dan ejen di negeri ini.

    “Saya mula menyediakan bahan untuk membuat cendol seawal 11 malam hingga 5 pagi dan proses paling lama adalah mengacau adunan atas api perlahan selama empat jam supaya ia sebati,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulai Chondong.

    Bapa kepada dua cahaya mata berusia empat dan enam tahun itu berkata, sebaik cendol siap diproses, tiga pekerjanya akan membantu membungkus cendol sebelum pemborong dan ejen datang mengambilnya.

    “Cendol yang dicampur dengan santan mampu bertahan hingga seminggu sekiranya disimpan di dalam peti sejuk,” katanya yang ‘berguru’ di Hatyai, Thailand pada 2016.

    Menurutnya, dia mula berniaga cendol pada 2010 selepas berhenti kerja kerana mahu pulang ke kampung halaman.

    Sejak itu dia serius menjual cendol dan pada waktu itu hanya mengambil cendol yang sudah siap diproses daripada pengusaha cendol di sekitar Machang.

    “Bagaimanapun, lama-kelamaan saya melihat generasi terdahulu yang mahir membuat cendol kebanyakan sudah tidak mampu untuk memprosesnya dan bagi meneruskan perniagaan cendol saya mengikuti kursus membuat cendol di Hatyai.

    “Pada awalnya saya beberapa kali mencuba untuk memproses cendol, tetapi gagal namun tidak pernah berputus asa.

    “Alhamdulillah atas berkat kesabaran, kini tekstur cendol yang dihasilkan sangat lembut dan kebanyakan pelanggan menyukainya,” katanya. BH

  • Rezeki Ramadan: 1,000 akok terjual sehari

    Pengusaha akok di Kampung Gong, Pulai Chondong, Machang (di Kelantan), memperoleh limpahan rezeki Ramadan apabila mampu menjual sehingga 1,000 biji akok setiap hari.

    Nik Hasnah Nik Hassan, 44, berkata, pada hari biasa akok hanya mampu terjual antara 200 hingga 400 biji sehari dan meningkat dua kali berganda pada Ramadan menyebabkan tidak menang tangan.

    Katanya, pada hari biasa, dia hanya dibantu suami, Nasir Samat, 47, untuk membakar akok, namun sepanjang Ramadan dia dibantu lapan pekerja.

    “Seawal jam 6.30 pagi kami sudah mula bekerja untuk proses penyediaan dan membakar akok bagi pelanggan yang datang membelinya di kedai selain memenuhi tempahan daripada jabatan kerajaan.

    “Jualan akok mereka mendapat sambutan menggalakkan sekali gus memberi peluang kepada kami untuk menambah pendapatan sepanjang Ramadan ini,” katanya.

    Ibu kepada tiga anak berusia antara 14 hingga 21 tahun ini berkata, akok yang dijual itu adalah resipi diolahnya sendiri sejak mula berniaga sembilan tahun lalu.

    “Bagi penyediaan akok sepanjang Ramadan, sebanyak 2,500 telur diperlukan setiap hari selain 300 kelapa dan kismis bagi menyedapkan lagi rasa akok selepas ia siap dimasak.

    “Rata-rata pelanggan yang pernah mencuba akok ini memuji rasa akok bunga kismis kerana ia berbeza dengan akok biasa dijual,” katanya.

    Nik Hasnah berkata ada caranya bagaimana membakar akok bagi mengelak hangus atau tidak masak.

    “Walaupun proses untuk membakar akok pandan itu memang nampak senang, tetapi sebenarnya ia perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan kuih itu menepati cita rasa pelanggan.

    “Bermula tahun lalu, saya terpaksa menaikkan harga akok daripada RM5.50 kepada RM6 sebiji disebabkan kenaikan harga barang, namun mujurlah pelanggan memahaminya,” katanya. BH