1 maut dan 2 cedera apabila pemandu hilang kawalan semasa perarakan di pekan Itali

ROME – Seorang lelaki maut manakala dua wanita cedera apabila pemandu hilang kawalan ke atas keretanya di pekan tengah Itali, Lanciano pada Jumaat semasa sambutan Hari Pembebasan Itali ke-80, kata media tempatan dan penyelamat.

Pemandu itu, seorang lelaki berusia 80 tahun, dilaporkan jatuh sakit sebelum langgar orang ramai, kata anggota bomba. Siasatan sedang dijalankan.

Seorang lelaki berusia 81 tahun maut serta-merta selepas dirempuh kereta itu, manakala dua wanita cedera dan dipindahkan ke hospital, lapor media tempatan.

Itali meraikan Hari Pembebasan, yang dikenali sebagai “Festa della Liberazione,” dengan cuti umum kebangsaan pada 25 April. Selain penutupan sekolah, pejabat awam dan kebanyakan kedai, hari itu ditandai dengan perarakan dan demonstrasi di seluruh negara.

Kemalangan di Lanciano berlaku pada penghujung perarakan tempatan yang dianjurkan oleh ANPI, persatuan partisan Itali yang mengekalkan ingatan gerakan Penentangan terhadap Fasis.

Upacara itu diadakan untuk memperingati berakhirnya pemerintahan Fasis dan pendudukan Nazi semasa Perang Dunia II, serta kemenangan pergerakan partisan Itali.

Tahun ini, ulang tahun ke-80 pembebasan bertepatan dengan tempoh lima hari berkabung nasional atas kematian Pope Francis, dengan kerajaan sayap kanan menggesa penganjur untuk mengadakan perayaan dengan “keseriusan”.

AP