29 terbunuh oleh pengeboman Israel di seluruh Gaza: sumber

GAZA — Sekurang-kurangnya 29 rakyat Palestin terbunuh oleh pengeboman Israel di utara dan selatan Semenanjung Gaza pada Khamis, termasuk ketua polis Gaza, kata sumber Palestin.

Lapan rakyat terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam pengeboman Israel di sekitar persimpangan Al-Ayoun dan Al-Lababidi, barat Kota Gaza, lapor agensi berita rasmi Palestin WAFA, sambil menambah empat lagi terbunuh akibat pengeboman Israel di kem Beach utara, barat bandar.

Di Khan Younis, enam orang terbunuh dan beberapa lagi cedera akibat serbuan Israel menyasarkan sebuah bangunan di tengah bandar selatan itu, kata WAFA.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata dalam satu kenyataan pada Khamis, tentera udara melakukan serangan berasaskan perisikan ke atas militan Hamas yang beroperasi di pusat kawalan dan perintah di dalam bangunan perbandaran Khan Younis di kawasan kemanusiaan.

Pada awal hari, sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di khemah di kawasan Mawasi, barat Khan Younis, menurut kementerian dalam negeri dikendalikan Hamas.

“Mejar Jeneral Mahmoud Salah, ketua pengarah pasukan polis Gaza, dan Hassam Shahwan, seorang pegawai kanan di pihak berkuasa dalaman Hamas, adalah antara yang maut,” menurut kementerian itu.

Dalam kenyataan berasingan, IDF berkata semalaman ia melakukan serangan berasaskan perisikan ke atas kawasan kemanusiaan di Khan Younis dan membunuh ketua Pasukan Keselamatan Dalam Negeri Hamas di selatan Semenanjung Gaza, Hassam Shahwan.

Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 45,581, kata pihak berkuasa kesihatan berpangkalan di Gaza dalam satu kenyataan pada Khamis.

XINHUA