Pelancong China ditemui mati lemas

SEMPORNA — Seorang pelancong warga China yang dilaporkan hilang ditemukan lemas selepas disyaki terjun ke laut di kawasan perairan Pulau Mabul, di sini semalam.

Mayat lelaki berusia lingkungan 30-an ditemui berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang pada kedalaman 17 meter selepas operasi pencarian dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna dengan bantuan penyelam dari resort berhampiran.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, ketika ditemui mangsa masih memakai beg galas (back pack) warna kelabu mengandungi tiga bongkah batu bata kira-kira 11.35 pagi.

Katanya, polis membuka kertas siasatan yang diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).

“Proses bedah siasat akan dijalankan dalam tempoh 48 jam jika tiada individu atau waris yang tampil untuk menuntut mayat mangsa,” katanya dalam kenyataan media di sini lewat malam tadi.

Sehubungan itu, Mohd Sabri meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mangsa supaya segera menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Ali Amat di talian 013-2120852 atau Balai Polis Semporna di talian 089-782020 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

BH ONLINE