BOGOTA – Empat orang terbunuh dan kira-kira 100 keluarga kehilangan tempat tinggal akibat tanah runtuh di jabatan Narino di selatan Colombia, pihak berkuasa tempatan mengesahkan pada Isnin.
“Hujan telah menyebabkan kecemasan di beberapa bandar, tetapi yang paling dahsyat berlaku di (komuniti) El Encano, di bandar Pasto, di mana tanah runtuh meragut nyawa empat orang dan menyebabkan kerosakan serius,” kata Gabenor Narino, Luis Alfonso Escobar, di X.
Tanah runtuh itu menjejaskan lebih 400 keluarga, menyebabkan beberapa jalan tidak dapat dilalui dan tiga saluran air runtuh.
Pihak berkuasa berusaha membersihkan jalan daripada serpihan dan membekalkan air minuman dengan trak tangki, kata gabenor.
Di bandar La Cruz, 100 keluarga turut terjejas akibat banjir dan tiga jambatan pejalan kaki dihanyutkan.
Sekitar “24 bandar telah meminta jentera untuk membersihkan jalan dan menangani tanah runtuh,” kata Escobar.
XINHUA