Pelajar universiti terjatuh di jalan maut digilis lori

JOHOR BAHRU – Seorang penuntut sebuah universiti swasta di Pasir Gudang maut, selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan ketika memotong sebuah lori, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata dalam kejadian 3.25 petang di Kilometer 9, Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Perling, mangsa maut di lokasi kejadian.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa, lelaki 23 tahun dalam perjalanan dari universiti tersebut ke Iskandar Puteri.

“Sewaktu kejadian hujan dan permukaan jalan basah. Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa telah memotong di sebelah kanan sebuah lori yang dipandu lelaki warga tempatan berumur 36 tahun.

“Ketika memotong mangsa dipercayai hilang kawalan dan terjatuh di bawah lori di lorong kiri, menyebabkan kepala mangsa digilis tayar sebelah kanan belakang lori tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu lori tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BH ONLINE