Kelantan ambil alih projek KB Sentral, pastikan siap seiring ECRL

KOTA BHARU – Kerajaan negeri memutuskan untuk mengambil alih projek Terminal Bas Kota Bharu (KB) Sentral bagi memastikan ia dapat disiapkan seiring siapnya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya menjangkakan KB Sentral dapat disiapkan pada 2027.

“Kerajaan membuat keputusan akan buat sendiri (KB Sentral) sebab kita hendak siapkan dalam masa cepat seiring dengan ECRL. Kita tak nak stesen ECRL siap, tetapi KB Sentral tidak siap kerana ia (lokasinya) di sebelah saja.

“Kita nak beroperasi bersama-sama, insya-Allah. Jadi kita tidak boleh tunggu lama lagi. Kita sudah bagi masa agak lama berbincang (dengan kontraktor sebelum ini) dan kerajaan (negeri) ambil keputusan untuk buat sendiri,” katanya selepas mesyuarat EXCO di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pemilihan kontraktor untuk KB Sentral akan diputuskan selepas ini, dengan projek itu akan dipantau Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin.

“Sebagaimana kita sebut (sebelum ini) berunding dengan Perak Transit, kerana Perak transit ada kemampuan dan pengalaman tetapi kita berhadapan dengan masa.

“Perak Transit sendiri ada beberapa kekangan, jadi rundingan terakhir kita buat dengan dia pada minggu lalu dan ada permintaannya kita tidak dapat penuhi jadi hari ini keputusan kita,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, kerajaan negeri meminta kata putus kepada syarikat Perak Transit berhubung pembinaan KB Sentral sama ada ingin meneruskan tanpa sebarang rundingan lain atau serahkan semula kepada kerajaan negeri untuk diambil alih.

Ini berikutan kerajaan negeri semakin kesuntukan masa kerana cadangan asal tempoh operasi KB Sentral adalah menjelang 2027.

BH ONLINE