KIEV – Bantuan tentera AS ke Ukraine dipulihkan, lapor agensi berita Interfax-Ukraine pada Rabu.
Agensi itu memetik Pavlo Palisa, timbalan ketua pejabat Presiden Ukraine dan anggota delegasi untuk berbincang dengan AS yang diadakan di bandar pelabuhan Jeddah, Arab Saudi. Palisa juga menyatakan bahawa perjanjian yang dicapai semasa rundingan “mula dilaksanakan”.
Sementara itu, media tempatan Ukrainska Pravda melaporkan AS juga telah menarik balik jedanya terhadap perkongsian risikan dengan Ukraine, memetik Pengarah Perisikan Kebangsaan AS Tulsi Gabbard.
Pada Selasa, delegasi AS dan Ukraine mengadakan perbincangan di Arab Saudi. Selepas pertemuan itu, mereka mengeluarkan kenyataan bersama yang mengumumkan bahawa AS akan menyambung semula bantuan keselamatan ke Ukraine dan memulihkan perkongsian risikan.
AS menggantung bantuan ketenteraannya untuk Ukraine awal bulan ini selepas pertengkaran yang jarang berlaku di Rumah Putih antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada akhir Februari.
XINHUA