‘Ijat masih bernyawa pada jam 4 pagi, 22 Mac tahun lalu’

TAWAU – Tertuduh keempat dalam kes kematian Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, mangsa masih bernyawa kira-kira jam 4 pagi, 22 Mac tahun lalu.

Saksi ke-11 pembelaan (DW11) itu dalam pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif, berkata dia bersama enam rakan melihat Ijat (panggilan Mohamad Nazmie Aizzat) tidur di bilik 7 Belian, kira-kira jam 4 pagi, 22 Mac lalu.

Bagaimanapun, saksi berkenaan meninggalkan mereka untuk bersahur di dewan makan sebelum bersiap untuk ke kelas pada pagi itu.

Nur Nisla: Saya katakan kepada kamu bahawa sebenarnya kamu tidak peduli tentang Ijat, sebab itu kamu biarkan sahaja dia dalam bilik 7 Belian masa kamu nampak dari jam 4 pagi dan kamu pergi bersahur dan pergi ke kelas seolah-olah tiada apa-apa, setuju?

DW11: Tidak setuju.

Nur Nisla: Kamu sepatutnya melaporkan kejadian itu kepada pihak warden untuk menyelesaikan masalah kecurian dengan cara yang betul dan bukannya ambil tindakan sendiri dengan cara keganasan, setuju?

DW11: Tidak setuju.

Nur Nisla: Setuju atau tidak semua yang terlibat dalam kejadian memukul Ijat mempunyai alasan yang sama iaitu marah dan menghukum Ijat kerana mencuri?

DW11: Tidak setuju.

Nur Nisla: Saya rujuk pernyataan saksi kamu muka surat empat perenggan 12, tiada sebarang ayat menyatakan kamu ada memberikan peluang kepada Ijat untuk menjelaskan dirinya, setuju?

DW11: Setuju.

Pada 28 Februari lalu, mahkamah memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain Nur Nisla, pasukan pendakwaan turut dibarisi Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 tertuduh itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh serta Chen Wen Jye, manakala lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo serta Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Prosiding perbicaraan peringkat bela diri di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung 14 hingga 17 April depan.

BH ONLINE