JOHOR BAHRU — Keadaan banjir di Johor semakin buruk apabila jumlah mangsanya terus meningkat kepada 3,973 orang daripada 1,113 keluarga yang berlindung di 38 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi ini.
Ia berbanding seramai 3,779 mangsa banjir (1,023 keluarga) dipindahkan ke 36 PPS di lima daerah terjejas bencana itu, setakat jam 4 petang semalam.
Lima daerah berkenaan ialah Kota Tinggi dan Kulai mencatat pertambahan bilangan mangsa banjir, manakala mangsa di Johor Bahru, Pontian dan Kluang tidak banyak berubah.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata Kota Tinggi kekal daerah paling terjejas dengan mangsa banjir meningkat kepada 1,313 penduduk (376 keluarga) yang ditempatkan di 14 PPS.
“Ia diikuti Johor Bahru dengan mangsa banjirnya melonjak kepada 808 penduduk (232 keluarga) di lima PPS.
“Mangsa banjir di Kulai turut bertambah kepada 764 penduduk (191 keluarga) yang berada di lima PPS, pagi ini.
“Di Pontian, jumlah mangsa banjir membabitkan 595 penduduk (161 keluarga) di sembilan PPS.
“Selain itu, mangsa banjir di Kluang kini seramai 550 orang (160 keluarga) yang berlindung di lima PPS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Johor memaklumkan setakat ini, terdapat empat paras air sungai masih merekodkan tahap bahaya iaitu Sungai Kahang di Kluang, Sungai Punggai di Kota Tinggi, Sungai Punggai di Pontian dan Sungai Skudai (Kampung Pasir).
“Air di tiga sungai lagi berada pada paras amaran, iaitu Sungai Lenik di Batu Pahat, Sungai Skudai (Kampung Laut) dan Sungai Jemaluang di Mersing.
“Empat sungai pula mencatat paras air tahap waspada membabitkan Sungai Muar di Segamat, Sungai Tiram di Johor Bahru, dan Sungai Johor, Sungai Sedili Kecil dan Sungai Ulu Sedili Besar di Kota Tinggi,” katanya.
BH ONLINE