Bot berlanggar, juragan bersama penumpang dilapor hilang ditemukan tidak bernyawa.

SEMPORNA — Seorang juragan bersama penumpangnya yang dilaporkan hilang selepas terhumban ke dalam laut apabila bot dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah bot pelancong di kawasan perairan Kampung Balimbang, di sini, disahkan meninggal dunia.

Insiden itu membabitkan sebuah bot pelancong membawa 12 penumpang dalam perjalanan menuju ke Pulau Mabul, sebelum berlanggar dengan bot laju berkenaan kira-kira jam 9.45 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Sobri Zainol berkata, akibat pelanggaran itu juragan bot bersama seorang penumpang masing-masing berumur 45 dan 50 tahun telah terhumban ke dalam laut dan dilaporkan hilang.

“Usaha pencarian telah dilakukan oleh orang awam dan kedua-dua mangsa dijumpai tenggelam di dalam air dengan keadaan tidak bernyawa.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Semporna untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya menerusi kenyataan di sini, lewat malàm tadi.

Mohd Sobri berkata, berikutan itu satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana kecuaian sehingga mengakibatkan kematian.

Pada masa sama beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Mohammad Hafizudin Akram Ghafsr Ismail di talian 013-7557293 atau tampil di mana-mana balai polis berdekatan.

“Pemilik bot juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati semasa mengendalikan bot masing-masing terutama di kawasan yang sibuk selain menyediakan peralatan dan kelengkapan keselamatan termasuk memasang lampu pada waktu malam dan menyediakan jaket keselamatan,” katanya.

BH ONLINE