Category: NEWS

  • 79 maut akibat “penyakit tidak diketahui” di barat daya Congo

    KINSHASA — Sekurang-kurangnya 79 orang maut akibat “penyakit yang masih tidak diketahui asalnya” yang sedang merebak di wilayah Kwango barat daya Republik Demokratik Congo, kata pihak berkuasa kesihatan dalam satu kenyataan awal Rabu.

    Kenyataan itu berkata pasukan respons khusus telah dihantar ke lapangan untuk mengenal pasti sifat penyakit itu, menggesa orang ramai mengelak perhimpunan besar-besaran.

    Penyakit ini sering menyebabkan gejala termasuk demam, sakit kepala, kesukaran bernafas, dan anemia.

    Remy Saki, naib gabenor wilayah itu, dipetik media tempatan sebagai berkata antara 67 dan 143 kematian telah direkodkan setakat Selasa.

    XINHUA

  • 6 dead, 2 injured in east China scaffold collapse

    JINAN — A scaffold collapse at a grain storage facility left six people dead and another two injured in Jinxiang County, Jining City of east China’s Shandong Province, at about 3 p.m. on Tuesday, according to local authorities.

    The cause of the accident is under investigation.

    XINHUA

  • 6 maut, 2 cedera dalam insiden perancah runtuh di timur China

    JINAN — Perancah runtuh di kemudahan penyimpanan bijirin menyebabkan enam orang maut dan dua lagi cedera di Daerah Jinxiang, Bandar Jining di Wilayah Shandong, timur China, kira-kira jam 3 petang Selasa, menurut pihak berkuasa tempatan.

    Punca kemalangan sedang dalam siasatan.

    XINHUA

  • ‘Ini dakwaan terdesak, hanya orang bodoh akan percaya’ – Najib

    KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini tuduhan bahawa beliau menyalahgunakan kedudukan dengan menerima hampir AS$20 juta pada 2011 adalah tindakan terdesak pihak pendakwaan.

    Najib yang membela diri daripada kandang saksi menegaskan bahawa dakwaan itu tidak berasas dan tidak masuk akal kerana tiga dalang sebenar yang melakukan jenayah itu, melarikan ratusan juta dolar dana 1MDB.

    Menurut Najib, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) dan Ketua Eksekutif PetroSaudi International Limited (PSI) Tarek Obaid menggunakan ratusan juta dana yang diseleweng untuk memperoleh hartanah, barang kemas dan barangan mewah lain.

    “Sebaliknya pihak pendakwaan mendakwa saya, ketika memegang jawatan sebagai perdana menteri dan menteri kewangan akan menjejaskan kerjaya politik dan reputasi yang dibina selama lebih 40 tahun, untuk melakukan perbuatan jenayah demi menerima AS$9,999,877 pada dua kejadian berasingan.

    “Ini adalah dakwaan terdesak oleh mereka yang hanya orang bodoh akan percaya,” katanya.

    Najib berkata demikian ketika membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

    Najib juga menafikan dakwaan pihak pendakwaan bahawa beliau mengarahkan Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB menjalin usaha sama dengan PSI, bagi menerima suapan itu antara 24 Februari dan 14 Jun 2011.

    Menurut bekas Ahli Parlimen Pekan itu, naratif pendakwaan tidak masuk akal kerana mendakwa beliau menerima wang daripada dua kerabat diraja Arab Saudi, iaitu Putera Faisal Turki Al-Saud dan Putera Saud Abdulaziz Al-Saud sebagai balasan untuknya melakukan penyalahgunaan kuasa.

    Beliau berkata, naratif itu adalah salah kerana ia tidak menyatakan dengan jelas kepentingan dua putera Arab untuk memberikan suapan kepadanya.

    Bagaimanapun, katanya dengan sinis, naratif itu juga sangat baik kepadanya kerana ia menggambarkan dirinya sebagai konspirator yang paling ‘murah hati dan berkorban diri’ dalam sejarah.

    “Naratif pendakwaan pada dasarnya mendakwa saya bermurah hati membolehkan semua orang memperkayakan diri mereka dengan ratusan juta.

    “Saya pula yang kononnya ‘imej bayangan’ Jho Low dan dikatakan dalang skim ini, menerima sebahagian kecil daripada penyelewengan itu beberapa tahun kemudian, sementara Jho Low menerima sejumlah AS$547 juta, Tarek Obaid AS$120 juta dan Pengarah PSI, Patrick Mahoney AS$33 juta.

    “Dakwaan ini adalah mustahil dan menentang logik akal, manakala kebenarannya adalah jelas dan dibuktikan dengan penemuan Mahkamah Switzerland yang adil.

    “Mahkamah itu secara konklusif mengenal pasti Tarek Obaid, Mahoney dan Jho Low sebagai individu yang bertanggungjawab atas penyelewengan dana ini,” katanya.

    Sementara itu, Najib menafikan memberi tekanan kepada pegawai eksekutif 1MDB untuk menjalin usaha sama dengan PSI yang didakwa menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian AS$1 bilion.

    Beliau berkata, dokumen yang dikemukakan di mahkamah jelas menunjukkan bahawa Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB sudah bersedia untuk menyertai usaha sama dengan PSI sebelum perbualan melalui telefon dengan Tan Sri Bakke Salleh (bekas pengerusi 1MDB) pada 26 September 2009.

    Menurut kes pendakwaan, Najib telah menekan pengurusan tertinggi 1MDB untuk memasuki perjanjian usaha sama melalui panggilan telefon dengan Bakke yang diaturkan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

    Najib berkata, bukti menunjukkan bahawa BOD sangat berminat untuk bekerjasama dengan PSI kerana syarikat sudah tentu tidak akan membuka akaun usaha sama jika sebaliknya.

    Beliau berkata, oleh kerana BOD masih dalam proses berunding dengan rakan kongsi, mereka sepatutnya memuktamadkan syarat usaha sama terlebih dahulu sebelum meneruskan.

    “Sebaliknya, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi menandatangani perjanjian usaha dan secara pramatang menentukan nilai aset tanpa kelulusan BOD.

    “Saya tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam usaha sama ini. Jika ada, saya boleh menetapkan kepada BOD tarikh untuk menandatangani perjanjian, entiti khusus untuk bekerjasama, syarat yang perlu dipersetujui, dan juga pilihan bank untuk membuka akaun,” katanya.

    BH ONLINE

  • Skandal Jabatan Air Sabah: Bekas pengarah, isteri, bekas timbalan pengarah diarah bela diri

    KOTA KINABALU — Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib dan dua yang lain diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membela diri terhadap pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram.

    Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat, mengeluarkan perintah itu terhadap Ag Mohd Tahir, 62, isterinya, Fauziah Piut, 59, dan bekas timbalan pengarah, Lim Lam Beng, 70, selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    Mahkamah menetapkan 26 hingga 28 Februari dan 28 hingga 30 April tahun depan sebagai tarikh pembelaan mereka.

    Ketiga-tiga mereka dibicarakan bersama 37 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta, serta memiliki barang mewah secara haram antara Oktober dan November 2016.

    Pendakwaan mengemukakan 38 saksi.

    Peguam yang mewakili Ag Mohd Tahir dan Fauziah, Datuk Ansari Abdullah berkata, pihaknya mungkin akan memanggil atau menemubual enam daripada saksi iaitu Tan Sri Pairin Kitingan, Datuk Raymond Tan, Teo Chek Ming, Datuk Felix Madan, Datuk Michael Emban, dan Datuk Peter Thien.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.

    Selain Ansari, Ag Mohd Tahir dan Fauziah turut diwakili peguam Priskila Akwila Sinem manakala Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Kelvin Wong mewakili Lim.

    BH ONLINE

  • Pelajar hilang mandi sungai ditemui lemas

    CHUKAI — Seorang pelajar yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama 10 rakannya di Sungai Neram, dekat sini, petang semalam, ditemui lemas, hari ini.

    Mayat Yusuf Adnan, 16, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Neram, dijumpai pasukan penyelamat kira-kira jam 8.10 pagi tadi.

    Komander Operasi Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat (STORM) Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd Zailani Abdullah, berkata mayat mangsa ditemui kira-kira 400 meter dari lokasi terakhir dilaporkan hilang.

    Beliau berkata, terdahulu pasukan penyelamat melakukan pencarian di kawasan tebing sungai bermula malam tadi hingga pagi ini.

    “Mayat mangsa dijumpai tersangkut pada ranting dan dahan kayu di dalam sungai itu sebelum dibawa naik ke darat. Mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian baju warna biru serta seluar ‘track’ hitam,” katanya.

    Mohd Zailani berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kemaman, untuk tindakan lanjut.

    Semalam, media melaporkan seorang pelajar dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Neram, kira-kira jam 4 petang.

    Mangsa dikata dihanyutkan arus deras dan beberapa rakan mangsa cuba membantu tetapi gagal.

    BH ONLINE

  • Alasan nak ukur baju, guru kemahiran hidup dituduh amang seksual pelajar

    MUAR — Guru kemahiran hidup dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajar lelaki dalam bengkel di sebuah sekolah menengah di Kluang, awal tahun ini.

    Tertuduh, Mohd Noraffandi Borhannordin, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Sayani Mohd Nor.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, bapa dua anak itu didakwa melakukan amang seksual terhadap pelajar lelaki berusia 15 tahun di sebuah bengkel sekolah, jam 1.30 tengah hari, 4 Januari lalu.

    Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, dia sekali lagu mengulangi perkara terhadap dua pelajar lelaki berlainan yang berusia 16 tahun pada jam 9.30 pagi dan 2.30 petang dengan kejadian ini juga berlaku di lokasi sama.

    Untuk kesemua pertuduhan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

    Berdasarkan laporan dibuat mangsa, kejadian berlaku ketika pelajar terbabit dipanggil tertuduh ke bengkel kemahiran hidup kononnya mahu mengukur baju.

    Ketika sedang memakai baju, tertuduh berpura-pura membantu sebelum menyeluk tangan ke dalam seluar pelajarnya.

    Tindakan itu mengejutkan mangsa sebelum mereka pulang ke rumah memberitahu ibu bapa.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh diwakili peguam Nurrul Nadia Norrizan.

    Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawar ikat jamin terhadap tertuduh selari dengan Seksyen 52B Kanun Keseksaan kerana kesalahan dilakukan serius.

    Selepas mendengar hujahan dan rayuan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM42,000 dengan seorang penjamin.

    Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta tidak boleh mengganggu atau berhubung dengan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

    Kes disebut semula pada 3 Januari ini untuk serahan dokumen.

    BH ONLINE

  • Calon SPM maut dalam perjalanan duduki ujian bertutur

    JASIN — Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut dalam perjalanan ke sekolah untuk menduduki ujian bertutur Bahasa Melayu hari ini, selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum melanggar tembok batu di Jalan Kilang Berapi, Merlimau di sini pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata dalam kemalangan kira-kira 7.30 pagi itu, Adib Irfan Mohd Nizam, 17, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha LC 135 yang ditunggang mangsa dari arah Umbai menghala ke SMK Dang Anum terbabas dan mangsa dikatakan gagal mengawal kenderaan itu sebelum melanggar tembok batu di bahu jalan di Jalan Kilang Berapi.

    “Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah pada badan dan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    BH ONLINE-BERNAMA

  • Bunuh pelajar Kolej Vokasional: Mangsa dicabar bertarung satu lawan satu – Saksi

    TAWAU — Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, dicabar untuk bertarung satu lawan satu di bilik Asrama 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu, pada malam 21 Mac lalu.

    Saksi pendakwaan ke-16 (PW16) itu berkata demikian ketika sesi pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

    Menurut saksi yang juga penghuni asrama kolej itu, tertuduh pertama mencabar Aizzat bertarung satu lawan satu dan mengarahkannya memilih siapa saja dalam kalangan mereka untuk bertarung di tengah bilik asrama berkenaan.

    Katanya, tertuduh ke-11 kemudiannya tampil menawarkan diri dengan mengatakan “biar aku lawan dia” sebelum mereka berdua bergaduh di situ.

    Nur Nisla: Semasa Aizzat dan tertuduh ke-11 bertumbuk, kamu nampak siapa tumbuk siapa?

    PW16: Kedua-dua mereka bertumbuk.

    Nur Nisla: Semasa kedua-kedua mereka (tertuduh ke-11 dan Aizzat) tengah bergaduh, yang lain buat apa?

    PW16: Mereka diam-diam saja kelilingi Aizzat dan tertuduh ke-11.

    Bagaimanapun saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam Kamarudin Mohmad Chinki bahawa Aizzat (si mati) juga ada menumbuk tertuduh ke-11 ketika pergaduhan itu.

    Kamarudin: Kamu nampak si mati menumbuk tertuduh ke-11, boleh tunjuk?

    Saksi kemudiannya melakukan demonstrasi bagaimana si mati menumbuk tertuduh ke-11.

    Kamarudin: Saya katakan kepada kamu, si mati lebih kuat daripada tertuduh ke-11?

    PW16: Tidak pasti

    Kamarudin: Adakah kamu tahu, tertuduh ke-11 mengalami lebam di rusuk kiri?

    PW16: Tidak tahu.

    Saksi itu juga tidak setuju dengan cadangan peguam bahawa penyataan saksi yang dibuatnya dibantu oleh pihak polis.

    Prosiding perbicaraan membabitkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun yang dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada jam 9 malam pada 21 Mac hingga jam 7.38 pagi pada 22 Mac lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhesseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.

    Pendakwaan pula diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

    BH ONLINE

  • Doktor gesa pemindahan perubatan dari Gaza dilanda perang ke timur Baitulmaqdis

    Wanita cedera semasa pengeboman Israel tiba di wad kecemasan di hospital Al-Nassr di Khan Yunis, di selatan Semenanjung Gaza pada 23 Julai 2024, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan militan Palestin Hamas. (AFP)

    JERUSALEM — Kumpulan perubatan dan hak asasi manusia pada Selasa menggesa pembukaan segera koridor kemanusiaan dari Gaza bagi membolehkan pemindahan segera pesakit ke hospital di timur Jerusalem.

    Israel mengawal semua tempat berlepas dari Semenanjung Gaza dilanda perang lebih setahun antara Israel dan militan diketuai kumpulan Islam Palestin Hamas.

    Pemindahan perubatan yang jarang berlaku telah dianjurkan oleh organisasi antarabangsa atau negara asing dengan penyelarasan pihak berkuasa Israel.

    Tetapi di tengah-tengah korban yang semakin meningkat akibat perang, Rangkaian Hospital Jerusalem Timur dan Pakar Perubatan untuk Hak Asasi Manusia Israel (PHRI) menggesa pembukaan semula segera Gaza ke koridor perubatan timur Jerusalem, menganggarkan kira-kira 25,000 pesakit di Gaza memerlukan rawatan segera.

    Fadi Atrash, pengarah Hospital Augusta Victoria di timur Jerusalem, berkata pembukaan semula koridor pemindahan “adalah penting untuk membolehkan kami terus menyediakan rawatan penting di hospital di timur Jerusalem, di mana kami mempunyai ruang dan kepakaran perubatan.”

    Sebelum perang, pesakit di Gaza yang memerlukan rawatan perubatan yang tidak tersedia di wilayah Palestin boleh dipindahkan ke hospital di timur Jerusalem dijajah Israel atau Tebing Barat yang diduduki, dan dalam beberapa kes di Israel.

    Tetapi sejak perang Gaza meletus tahun lalu, mekanisme itu tidak berfungsi.

    Semasa pemindahan luar biasa kira-kira 200 pesakit dari Gaza pada awal November, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata kira-kira 14,000 orang sedang menunggu pemindahan perubatan.

    Beberapa hari kemudian, Doctors Without Borders (MSF) berkata “pihak berkuasa Israel menyekat, tanpa penjelasan, pemindahan perubatan lapan kanak-kanak dan penjaga mereka dari Gaza yang memerlukan rawatan perubatan, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun dengan amputasi kaki, ke Hospital MSF di Jordan.”

    “Kami mengecam sekeras-kerasnya keputusan ini,” katanya.

    Pada Selasa, “31 pesakit dan penjaga meninggalkan Gaza” melalui lintasan Kerem Shalom antara Gaza dan Israel, COGAT, agensi Kementerian Pertahanan Israel yang menguruskan hal ehwal sivil di wilayah Palestin, berkata.

    Ia menambah bahawa pesakit akan dipindahkan ke Jordan dan Amerika Syarikat untuk rawatan.

    Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata dalam catatan di X, 31 orang itu terdiri daripada 11 kanak-kanak menghidap kanser yang menunggu rawatan dan 20 peneman.

    “Beribu-ribu pesakit di seluruh Gaza masih memerlukan pemindahan perubatan untuk rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa. Kami menggesa agar semua koridor digunakan untuk pemindahan pesakit yang selamat di luar Semenanjung Gaza,” katanya.

    Lebih 105,000 orang cedera di Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023, menurut angka dari kementerian kesihatan wilayah itu yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

    Sistem penjagaan kesihatan Gaza sebahagian besarnya telah musnah akibat perang, dengan hanya segelintir kemudahan perubatan kini dapat menyediakan penjagaan.

    AN-AFP