Category: NEWS

  • Kementerian pertahanan Syria tamat operasi di pantai: agensi berita negara

    DAMSYIK – Kementerian pertahanan Syria pada Isnin mengumumkan penamatan operasi keselamatan besar di wilayah pesisir pantai, selepas beberapa hari keganasan dan pembunuhan beramai-ramai yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa.

    Pemantau perang Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata hampir 1,500 orang telah terkorban dalam keganasan sejak Khamis, majoriti orang awam daripada mereka dibunuh oleh pasukan keselamatan dan kumpulan bersekutu di kawasan teras minoriti Alawi, tempat presiden digulingkan, Bashar Assad.

    Dalam satu kenyataan di agensi berita rasmi SANA, jurucakap kementerian pertahanan Hassan Abdul Ghani berkata pasukan keselamatan telah meneutralkan ancaman keselamatan dan “sisa rejim” di wilayah Latakia dan Tartus di pantai Mediterranean.

    “Setelah mencapai ini, kami mengumumkan penamatan operasi ketenteraan,” kata Abdul Ghani.

    Dia memuji “kejayaan pasukan kita… dalam mencapai semua objektif yang ditetapkan” untuk operasi itu.

    “Kami dapat… menyerap serangan saki-baki rejim yang digulingkan dan pegawainya” dan menolak mereka dari lokasi “penting”, kata Abdul Ghani.

    Pertempuran tercetus minggu lalu antara pasukan keselamatan dan lelaki bersenjata yang setia kepada Assad, dengan Pemerhati melaporkan 231anggota keselamatan dan 250 pejuang pro-Assad terbunuh.

    Termasuk sekurang-kurangnya 973 orang awam, kebanyakannya orang Alawi, dibunuh oleh pasukan keselamatan dan pasukan bersekutu, jumlah kematian keseluruhan menurut Pemerhati mencecah 1,454.

    Abdul Ghani berkata bahawa “sistem keselamatan akan bekerja dalam fasa akan datang untuk menyatukan kerja kami untuk memastikan kestabilan dan memelihara keselamatan penduduk.”

    Dia juga merujuk kepada “rancangan baharu untuk terus memerangi saki baki rejim yang digulingkan dan berusaha untuk menghapuskan sebarang ancaman masa depan”.

    Presiden Sementara Ahmed Al-Sharaa, yang kumpulan Islamisnya mengetuai serangan menggulingkan Assad pada Disember, telah berikrar untuk “bertanggungjawab, tegas dan tanpa kelonggaran, sesiapa sahaja yang terlibat dalam pertumpahan darah orang awam”.

    “Tidak akan ada sesiapa di atas undang-undang dan sesiapa yang tangannya telah dicemari dengan darah rakyat Syria akan menghadapi keadilan lambat laun,” katanya.

    AN-AFP

  • Saksi beritahu dipaksa buat pengakuan

    TAWAU – Pelajar Kolej Vokasional Lahad, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, dia dipaksa untuk menulis pengakuan bahawa mereka yang memukul sehingga mengakibatkan kematian mangsa, Mohamad Nazmie Aizzat di kolej berkenaan, Mac tahun lalu.

    Saksi pertama pembelaan (DW1) yang juga tertuduh kelima itu berkata, guru disiplin bernama Cikgu Firdaus memberi kertas kosong A4 dan pen untuk menulis pengakuan itu.

    Menurutnya, dia yang tidak setuju tindakan itu, bagaimanapun terpaksa menurut arahan guru berkenaan memandangkan Cikgu Firdaus adalah guru disiplin.

    Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Kamarudin Mohmad Chinki, pada perbicaraan peringkat bela diri di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

    Remaja berumur 18 tahun itu turut memaklumkan dia ada bertemu dengan cikgu Firdaus sebelum ditahan dan dibawa ke Balai Polis pada 22 Mac 2024.

    Kamarudin: Adakah kamu tahu kertas A4 tersebut diserahkan oleh Cikgu Firdaus kepada polis?

    DW1 : Tidak tahu.

    Kamarudin: Saya katakan kepada kamu bahawa pengakuan yang kamu tulis di dalam kertas A4 tersebut adalah secara paksa dan bukan atas kerelaan kamu sendiri, setuju?

    DW1: Setuju.

    Kamarudin: Sekiranya cikgu Firdaus dipanggil sebagai saksi di Mahkamah ini, boleh kamu cam Cikgu Firdaus?

    DW1: boleh.

    Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao, remaja itu juga tidak bersetuju dengan cadangan bahawa jawapan dan keterangannya hanya bersifat penafian dan dibuat untuk tidak mengaitkan dirinya bersama rakan-rakannya yang dituduh membunuh.

    Pada 28 Februari lalu, Duncan memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.

    Manakala pasukan pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, Ng Juhn Tao, dan Batrisyia Mohd Khusri.

    BH ONLINE

  • Pekan Beaufort lumpuh akibat banjir besar sejak kelmarin

    BEAUFORT – Aktiviti perniagaan sekitar Pekan Beaufort di sini, lumpuh sepenuhnya apabila hampir keseluruhan kawasan pekan ini ditenggelami air berikutan banjir besar yang melanda daerah ini sejak kelmarin.

    Tinjauan mendapati semua jalan raya di kawasan pekan tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan, manakala sebahagian besar tingkat bawah premis dimasuki air.

    Turut terjejas ialah premis bertiang, khususnya bangunan kedai lama yang dibina khas bagi mengelak banjir yang menjadi ciri ikonik pekan Beaufort.

    Dengan ketinggian tiang lebih semeter dari permukaan tanah, paras air banjir akibat limpahan air Sungai Padas kebiasaannya tidak melepasi lantai bangunan.

    Namun, situasi berbeza kali ini apabila paras air turut melepasi lantai bangunan bertiang, menggambarkan banjir luar biasa yang melanda daerah ini.

    Selain premis kedai, banjir turut memasuki stesen kereta api dan menjejaskan perkhidmatan yang menghubungkan daerah ini dengan Kota Kinabalu dan kampung di bahagian hulu Sungai Padas.

    Beberapa premis kerajaan seperti Pejabat Daerah dan Klinik Pergigian, Klinik Kesihatan serta beberapa sekolah berhampiran pekan juga terjejas akibat banjir.

    Turut kelihatan beberapa kenderaan ditenggelami air, antaranya yang diletakkan di pekarangan Stesen Keretapi Beaufort, dipercayai tidak sempat dialihkan pemiliknya.

    Tinjauan turut mendapati anggota bomba menggunakan bot untuk membawa keluar penduduk yang terjejas di kawasan pekan, selain ada penduduk menggunakan bot plastik keluar dari premis.

    Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, seramai 4,159 mangsa banjir dipindahkan di empat daerah setakat jam 4 petang ini.

    Daripada jumlah itu, Beaufort mencatat jumlah tertinggi dengan seramai 1,339 mangsa, diikuti daerah Tenom seramai 1,162 mangsa, Membakut (880 mangsa) dan Sook (778 mangsa).

    Setakat ini, sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Beaufort, manakala 13 PPS di Tenom, diikuti dua PPS di Membakut dan tiga PPS di Sook.

    Difahamkan, hujan lebat berterusan dengan kadar yang tinggi mencecah 200 milimeter (mm) berbanding kadar biasa kira-kira 50 mm, selain fenomena air pasang tinggi hingga mencapai 2.5 meter punca utama banjir besar di daerah terbabit.

    BH ONLINE

  • ‘My God!’ ungkap Najib terkejut mengetahui RM42 juta dalam akaunnya – saksi

    KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Datuk Seri Najib Razak terkejut selepas mendapat tahu dua akaun bank peribadinya menerima kemasukan wang berjumlah RM42 juta.

    Dr Shamsul Anwar yang memberikan keterangan selaku saksi pembelaan, berkata bekas perdana menteri itu menelefonnya dan bertanyakan sama ada beliau (Shamsul Anwar) memasukkan dana berkenaan melalui tiga transaksi pemindahan.

    IPSB ialah badan amal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang ditubuhkan untuk kerja kebajikan sosial, yang menerima pembiayaan daripada 1MDB dan Yayasan Rakyat 1 Malaysia (YR1M).

    Saksi pembelaan ke-14 itu berkata, beliau mengesahkan kepada Najib bahawa dia memang membuat tiga pemindahan berkenaan, bagaimanapun menjelaskan ketika membuat transaksi itu, beliau tidak mengetahui siapakah pemilik akaun.

    “Datuk Seri bertanya mengapa saya memindahkan dana ke dalam akaun itu, saya beritahu saya mengikut arahan Ung Su Ling dan Dennis See (Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Projek Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), kerana ia amalan biasa bagi saya untuk memproses pembayaran berdasarkan arahan mereka untuk program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)

    “Oleh kerana peranan mereka dalam YR1M, saya percaya bahawa pembayaran ini bertujuan untuk tujuan CSR.

    “Daripada reaksinya melalui telefon, nampaknya bahawa Datuk Sri Najib terperanjat, kerana saya dengan jelas mendengar dia menggumam dengan menyatakan, ‘My God!’

    Shamsul Anwar yang membacakan pernyataan saksinya, memberitahu reaksi itu didengar ketika menerima panggilan daripada Najib ketika dalam perjalanan ke Brussels.

    Saksi itu menjelaskan, jika beliau mengetahui dua akaun bank itu adalah milik Najib, beliau akan bertanya kepadanya terlebih dahulu.

    Terdahulu, Dr Shamsul Anwar berkata, IPSB menerima geran berjumlah RM40 juta setiap tahun untuk melaksanakan program CSR bagi 1MDB yang diterimanya daripada dua yayasan iaitu Yayasan 1MDB (YIMDB) dan YRIM.

    Bagaimanapun selepas mengetahui bahawa wang RM42 juta yang dimasukkan akaun AmPrivate Banking -1MY dan AmPrivate Banking – MY dengan nombor akaun berakhir 880 dan 906, Dr Shamsul Anwar tidak membuat sebarang laporan polis berhubung perkara itu.

    Dr Shamsul Anwar yang disoal peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata beliau menerima arahan untuk melakukan pemindahan wang melalui e-mel daripada Su Ling disusuli dengan arahan daripada See untuk memastikan ia dilaksanakan.

    Menurut Dr Shamsul Anwar, beliau melakukan dua pemindahan wang pertama pada 26 Disember 2014 masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM27 juta, manakala pemindahan ketiga ialah pada 10 Februari 2015, sebanyak RM10 juta.

    Dana berjumlah RM42 juta itu adalah perkara subjek pada perbicaraan jenayah berasingan yang membabitkan Najib.

    Ketika disoal Muhammad Shafee mengapa beliau mengikut arahan untuk memindahkan wang itu, Dr Shamsul Anwar berkata arahan itu datang daripada Su Ling dan See dari YR1M, yang merupakan pembiaya IPSB.

    “Saya terpaksa mengikut arahan mereka berhubung pengeluaran dana,” katanya.

    Saksi itu juga berkata bahawa dia telah mengambil tanggungjawab sendiri untuk menyemak secara dalaman dengan Jabatan Kewangan IPSB mengenai siapa pemilik akaun bank itu tetapi usaha itu sia-sia.

    Katanya, beliau juga cuba membuat pengesahan dengan Su Ling melalui telefon dan secara peribadi beberapa kali, namun Su Ling tidak mendedahkan maklumat itu kepadanya.

    “Saya juga bertanya kepada See soalan yang sama tetapi dia beritahu, saya tidak perlu mengetahui butiran pemegang akaun AmPrivate Banking-1 MY dan AmPrivate Banking-MY,” katanya.

    Dr Shamsul Anwar memberikan keterangan pada perbicaraan membabitkan Najib yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Prosiding di hadapan Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman bersambung esok.

    BH ONLINE

  • Penjawat awam direman lima hari bantu siasatan minta rasuah RM3,000

    KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dakwaan meminta rasuah RM3,000 sebagai balasan mendaftarkan pusat jagaan milik sebuah syarikat.

    Perintah reman terhadap lelaki berusia 30-an itu dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

    Sumber berkata, suspek ditahan kira-kira jam 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu.

    Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara Julai hingga September 2023.

    “Suspek juga disyaki menerima suapan melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa pusat jagaan lain turut dipanggil pada masa terdekat untuk membantu siasatan.

    BH ONLINE

  • Dua anggota polis positif dadah dibebaskan dengan jaminan

    KUALA LUMPUR – Dua anggota polis yang ditahan selepas didapati positif dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Pudu, di sini, Sabtu lalu dibebaskan dengan jaminan.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata anggota polis lelaki dan wanita itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas reman sehari terhadap mereka tamat.

    “Anggota polis lelaki positif dadah methamphetamine, amphetamine, ketamin dan benzo, manakala anggota wanita positif dadah benzo.

    “Siasatan mendapati bekalan dadah diambil dari luar premis hiburan berkenaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Semalam, Polis Kontinjen Kuala Lumpur memaklumkan, dua anggota polis itu adalah antara 55 individu termasuk empat warga asing yang dicekup dalam serbuan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

    Serbuan yang bermula pada jam 4 petang itu dilakukan hasil risikan dan maklumat dengan pemeriksaan mendapati anggota polis lelaki dan wanita berkenaan positif dadah Eramin 5 dan ketamin.

    Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad dilaporkan berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati 49 individu membabitkan 25 lelaki dan 17 wanita positif dadah, termasuk penjawat awam itu.

    Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 Akta Hiburan 1992, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

    Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1953 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1953.

    BH ONLINE

  • Dua lelaki Nepal maut dalam nahas tiga kenderaan

    BERA – Dua lelaki warga Nepal yang menaiki motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 5, Jalan Bera-Mayam pada jam 8.43 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata kedua-duanya mati di lokasi akibat kecederaan di kepala dan beberapa anggota badan lain.

    “Siasatan awal mendapati, sebuah pikap dan kereta Proton Satria Neo dalam perjalanan dari arah Mayam ke Bera sebelum terbabit dengan motosikal jenis Demak Spark 110 yang ditunggang kedua-dua mangsa keluar dari simpang sebelah kiri jalan.

    “Motosikal itu mulanya bergesel dengan pikap terbabit sebelum dilanggar kereta yang mengekori di belakang,” katanya.

    Zulkiflee berkata, punca kemalangan dipercayai berlaku akibat kecuaian penunggang motosikal yang keluar dari persimpangan tanpa memberi laluan kepada kenderaan yang bergerak terus.

    “Kedua-dua pemandu kenderaan yang terbabit dalam nahas itu tidak mengalami kecederaan. Mayat mangsa dihantar bedah siasat di Hospital Bera, punca nahas sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

    BH ONLINE

  • Polis terima laporan ketiga, doktor berkelakuan tak senonoh ditahan semula

    GEORGETOWN – Seorang doktor perubatan sebuah hospital di sini, yang ditahan kerana disyaki berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakit pada Khamis lalu, ditahan semula hari ini bagi melengkapkan siasatan terhadapnya.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, berkata tempoh tahanan reman lelaki berusia 43 tahun itu tamat hari ini, namun suspek ditahan semula susulan laporan polis ketiga dibuat terhadapnya pada Jumaat lalu.

    “Lelaki itu ditahan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan kita mahu melengkapkan siasatan kes berkaitan laporan ketiga dibuat seorang wanita mendakwa dirinya juga menjadi mangsa.

    “Doktor itu akan dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan terhadapnya selesai. Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Polis menahan pegawai perubatan itu di sebuah hospital di sini pada jam 9.30 malam 26 Februari lalu, selepas menerima maklumat daripada pihak hospital.

    Suspek direman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Mac lalu.

    Bagaimanapun, suspek ditahan semula pada Khamis lalu selepas disyaki melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi pesakit wanita di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus pada 2023 dan polis memperoleh perintah reman hingga hari ini.

    Jumaat lalu, seorang wanita warga asing membuat laporan polis mendakwa suspek memperdayakannya untuk membuka pakaian ketika melakukan pemeriksaan jantung di hospital tempat doktor itu bertugas pada 20 Februari lalu.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Angka kematian akibat ribut cecah 15 di selatan Argentina

    BUENOS AIRES, 9 Mac – Angka kematian akibat ribut kencang yang melanda bandar pelabuhan Bahia Blanca di selatan Argentina pada Jumaat meningkat kepada 15 orang, kata pihak berkuasa tempatan pada Ahad.

    Federico Susbielles, datuk bandar Bahia Blanca, berkata jumlah kematian mungkin lebih tinggi disebabkan magnitud fenomena meteorologi yang melanda bandar dan pekan sekitarnya.

    Aktiviti telah digantung, dan penduduk tempatan telah diminta untuk tinggal di rumah, tambahnya.

    Menurut kemas kini daripada majlis perbandaran Bahia Blanca, sekurang-kurangnya 1,450 orang telah dipindahkan setakat ini, manakala 100 lagi hilang.

    Kerajaan Argentina mengatur operasi bantuan dan pemindahan yang melibatkan kementerian pertahanan dan keselamatan serta kerajaan wilayah Buenos Aires.

    Ribut hujan Jumaat adalah yang paling kuat dalam sejarah bandar itu, memecahkan rekod hujan yang ditetapkan pada Mac 1933, menurut data rasmi.

    XINHUA

  • Russia recaptures 3 settlements in Kursk region: defense ministry

    MOSCOW – Russian forces have regained control of three settlements in the Kursk region, the Defense Ministry said Sunday.

    “As a result of decisive operations, the Sever (North) Group of Forces’ units liberated Malaya Loknya, Cherkasskoye Porechnoye and Kositsa in Kursk region,” the ministry said in a statement, adding that the Russian army continues the operation to defeat the Ukrainian armed forces on the territory of Kursk region.

    The three settlements are all north of the Ukraine-controlled Sudzha, an important town securing supply for its operation in Kursk.

    XINHUA