Dua sarjan polis maut ditembak

PATTANI – Dua anggota polis yang sedang bertugas, maut ditembak sekumpulan lelaki bersenjata dalam kejadian di daerah Yarang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Yarang, Kolonel Polis Warin Wangthongchai, berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 malam waktu tempatan, dua anggota polis masing-masing berusia 23 dan 35 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira 500 meter dari balai polis berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang sedang melakukan rondaan, ditembak empat lelaki bersenjata dari jarak dekat,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Dua anggota polis terbabit dikenali sebagai Sarjan Decha Kiewkaew, 35, dan Sarjan Songchai Chanthraphap, 23.

Beliau berkata, polis turut menemukan empat jenis kelongsong peluru di tempat kejadian yang dipercayai digunakan oleh suspek, manakala pistol milik mangsa turut dilarikan oleh kumpulan itu.

Penduduk memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa mereka terdengar di antara lima hingga 10 das tembakan.

Mayat kedua-dua anggota polis telah dihantar ke Hospital Yarang untuk proses bedah siasat.

Motif serangan masih dalam siasatan dan pihak polis kini giat menjejaki suspek di kawasan sekitar.

BH ONLINE – BERNAMA