Duda bayar RM100 tutup rahsia cabul anak rakan kekasih didakwa di mahkamah

MUAR – Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kepada rakan teman wanitanya di Segamat, minggu lalu.

Tertuduh, Haminollah Mawang, 60, yang juga duda mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa melakukan perbuatan terbabit terhadap remaja berusia 16 tahun di sebuah rumah di Segamat, pada jam 11.30 malam, 11 Mac lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Berdasarkan laporan dibuat mangsa, sebelum kejadian, remaja terbabit keluar memberi makanan kucing peliharaannya dan secara kebetulan, tertuduh yang baru pulang dari solat Tarawih tiba di rumah itu untuk berjumpa kekasihnya.

Sebaik selesai memberi makanan kucing, tertuduh menarik tangan mangsa lalu melakukan amang seksual terhadapnya dan memberi RM100 supaya mangsa merahsiakan kejadian itu.

Bagaimanapun, mangsa kemudian menceritakan perkara itu kepada ibunya.

Siasatan polis mendapati, rumah didiami mangsa turut dihuni teman wanita tertuduh yang juga rakan kepada ibu remaja perempuan terbabit.

Atas nasihat ibunya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chaah sehari selepas kejadian dengan tertuduh ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh atas faktor keselamatan mangsa kerana tertuduh kerap datang ke rumah itu bertemu kekasihnya, selain memiliki kunci pendua rumah terbabit.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dengan tertuduh tidak dibenar ikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 17 April ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

BH ONLINE