El Chapo, El Raton & tindak balas kartel Sinaloa

El Chapo, El Raton & tindak balas kartel Sinaloa
Bangkai bas dan trak yang terbakar, dibakar oleh anggota kumpulan dadah digambarkan berikutan penahanan ketua kumpulan dadah Mexico, Ovidio Guzman. Reuters

PASUKAN keselamatan Mexico pada Khamis menangkap seorang anak lelaki raja dadah yang dipenjarakan Joaquin “El Chapo” Guzman.

Ovidio Guzman, yang ditangkap di bandar barat laut Culiacan, dituduh mengetuai puak kartel Sinaloa, kata Menteri Pertahanan Luis Cresencio Sandoval.

Lelaki berusia 32 tahun itu, digelar “El Raton” (The Mouse), didakwa membantu menjalankan operasi pengedaran dadah bapanya sejak El Chapo diekstradisi ke Amerika Syarikat pada 2017.

Amerika Syarikat sebelum ini menawarkan ganjaran sehingga $5 juta ((RM22 juta) untuk maklumat yang membawa kepada penahanan Guzman, menuduhnya sebagai pemain utama dalam kartel Sinaloa.

Penahanannya mengakibatkan tembakan dan kenderaan dibakar di Culiacan.

Menurut laporan media, seramai 10 anggota tentera dan 19 suspek disyaki penjenayah terbunuh dalam satu operasi menangkap Guzman.

Seramai 35 lagi anggota tentera cedera akibat ditembak dan dibawa ke hospital, manakala 21 individu bersenjata dipercayai anggota kartel dadah Sinaloa turut ditahan.

Perkara itu dimaklumkan oleh kerajaan Mexico semalam, susulan insiden tembak menembak yang mencetus ketakutan di sebuah lapangan terbang.

Puluhan ribu tentera mengambil alih kawalan Culiacan yang menjadi kubu kuat kartel dadah Sinaloa, yang kini umpama zon perang selepas individu bersenjata mengamuk kerana mahu membebaskan Guzman.

Guzman, seorang daripada pemimpin kartel paling dikehendaki di dunia diterbangkan ke Bandar Maxico (selepas ditangkap) sebelum dipindahkan ke penjara kawalan ketat Altiplano, yang pernah menjadi lokasi bapanya, ‘El Chapo’ melarikan diri sebelum ini.

Tangkap skrin 17 Okt 2019 ini daripada video yang disediakan oleh kerajaan Mexico menunjukkan Ovidio Guzman Lopez pada saat penahanannya, di Culiacan, Mexico. AP

Menteri Pertahanan Mexico, Luis Cresencio Sandoval, berkata seorang kolonel yang mengetuai satu batalion infantri adalah antara yang terbunuh selepas pasukannya diserang susulan penahanan Guzman.

Katanya, sebuah kapal terbang awam yang mahu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Culiacan serta dua pesawat Tentera Udara Mexico, turut ditembak ketika anggota kartel cuba membebaskan Ovidio.

Jelasnya, pesawat tentera itu terpaksa membuat pendaratan kecemasan selepas mengalami sejumlah impak yang signifikan daripada serangan berkenaan, namun tiada kecederaan dilaporkan dan lapangan terbang itu kembali beroperasi semalam.

Sementara itu, jurucakap Majlis Keselamatan Nasional AS, John Kirby, menyifatkan penahanan pengedar dadah itu sebagai pencapaian signifikan kepada pihak berkuasa Mexico.

Guzman berjaya memperoleh arahan mahkamah yang menghalang ekstradisi segeranya ke AS, namun kerajaan Mexico juga enggan melaksanakan ekstradisi segera kerana mahu melalui proses perundangan sewajarnya.

Sementara itu, keadaan di bandar Culiacán dilihat sudah terkawal.

“El Chapo” sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Amerika Syarikat kerana mengedar ratusan tan dadah ke AS dalam tempoh 25 tahun.

Bagaimanapun, kartelnya kekal sebagai salah satu yang paling berkuasa di Mexico.

Ovidio dan salah seorang abangnya dituduh mengawasi hampir sedozen makmal methamphetamine di Sinaloa serta berpakat untuk mengedar kokain dan ganja, menurut Jabatan Negara AS.

Dia pernah ditangkap sebelum ini pada 2019, tetapi pasukan keselamatan membebaskannya selepas kartelnya melancarkan perang habis-habisan sebagai tindak balas.

070123 | Teks disusun bersumberkan laporan GN dan  BH memetik AFP