Guru besar didakwa guna kedudukan bantu adik dapatkan projek pembinaan di sekolah

SHAH ALAM – Seorang guru besar sekolah pendidikan khas hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membantu syarikat adiknya mendapatkan kerja-kerja pembinaan di sekolah itu bernilai RM48,050 dua tahun lalu.

Mohd Zaini Miskon, 56, didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Selangor bagi mendapatkan suapan dengan membantu syarikat adiknya membabitkan kerja-kerja pembinaan bumbung dewan terbuka, laluan susur gajah dan gazebo untuk sekolah tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 8 Julai 2023 di sekolah terbabit.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Atirah Mohd Azuarizanuddin menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mohd Zaini, yang tidak diwakili peguam, pula memohon jumlah jaminan rendah iaitu RM5,000 atas alasan isterinya menghidap kanser payu dara dan memerlukan rawatan berterusan selain menanggung anak mereka yang sedang melanjutkan pelajaran di sebuah kolej.

“Saya juga perlu menjaga ibu saya yang berusia 85 tahun. Saya masih bekerja sebagai guru dengan pendapatan sebanyak RM8,000 dan saya tiada pendapatan lain,” katanya.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menetapkan jaminan RM10,000 serta membenarkan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 April ini.

BH ONLINE–BERNAMA