
KYIV – Serangan peluru berpandu balistik Rusia semalaman di bandar pelabuhan Odesa, selatan Ukraine membunuh empat orang dan merosakkan sebuah kapal kargo berbendera Barbados, kata pihak berkuasa Ukraine pada Rabu.
Serangan lewat Selasa datang ketika Ukraine mengesahkan cadangan Amerika untuk gencatan senjata selama 30 hari dan bersetuju untuk rundingan segera dengan Rusia.
Pegawai Ukraine berkata, serangan itu berlaku ketika kapal kargo itu sedang dimuatkan dengan konsainan bijirin yang bertujuan untuk dihantar ke Algeria.
“Malangnya, empat orang maut – warga Syria. Mangsa paling muda berumur 18 tahun, yang paling tua berumur 24 tahun. Dua lagi orang cedera – seorang Ukraine dan Syria,” tulis Oleksiy Kuleba, naib perdana menteri untuk pembangunan semula di media sosial.
“Rusia menyerang infrastruktur Ukraine, termasuk pelabuhan yang terlibat dalam memastikan keselamatan makanan dunia,” tambahnya.
Secara berasingan, gabenor wilayah Dnipropetrovsk berkata seorang wanita berusia 47 tahun terbunuh semasa serangan peluru berpandu Rusia ke atas bandar tengah Kryvyi Rig, kampung halaman Presiden Volodymyr Zelensky.
Tentera udara Ukraine berkata secara keseluruhan Rusia melancarkan tiga peluru berpandu di negara yang dilanda perang itu semalaman serta 133 dron pelbagai jenis, termasuk dron serangan jenis Shahed rekaan Iran.
Unit pertahanan udaranya menembak jatuh 98 dron, tambah tentera udara.
AN-AFP