Ladang Sindiyan diiktiraf Malaysia Book of Records pengusaha Musang King terbesar negara

Ladang Sindiyan diiktiraf Malaysia Book of Records pengusaha Musang King terbesar negara

GUA MUSANG — Ladang durian Musang King dengan keluasan hampir 3,000 hektar milik Sindiyan Plantations Sdn Bhd diiktiraf ‘Malaysia Book Of Records’ sebagai ladang mengusahakan raja buah terbesar di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sindiyan Plantation Sdn Bhd, Symantha Chai berkata dengan keluasan lebih hampir 3,000 hektar di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Ladang Sindiyan kini adalah ladang durian terbesar dalam negara dengan lebih 200,000 pokok durian.

“Sejak 2016 kami sudah mula pelbagai kaedah untuk menanam, dan akhirnya menjumpai kaedah yang betul dan kami mengembangkan sehingga hampir mencecah 3,000 hektar.

“Kami akan kekal komited meniadi peneraju dalam perniagaan durian, Ladang Sindiyan akan terus memodenkan operasi dan mengembangkan ladangnya dimasa hadapan.

“Misi kami adalah untuk membangunkan usaha niaga agrikultur dan agro-pelancongan yang mampan.

“Usaha ini akan membawa limpahan sosio konomi kepada penduduk setempat serta membawa kelestarian kepada alam sekitar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengiktirafan ‘Malaysia Book Of Records’ sebagai ladang Musang King terbesar di Malaysia.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Muhamed Fadzli (tiga kiri) bersama Sijil Pengiktirafan ‘Malaysia Book Of Records’ sebagai ladang Musang King terbesar di Malaysia di Ladang Sindiyan, Lojing Gua Musang, di sini, hari ini – Foto Paya Linda Yahya
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Muhamed Fadzli (tiga kiri) bersama Sijil Pengiktirafan 'Malaysia Book Of Records’ sebagai ladang Musang King terbesar di Malaysia di Ladang Sindiyan, Lojing Gua Musang, di sini, hari ini - Foto Paya Linda Yahya

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Muhamed Fadzli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Hernan Corporation Sdn Bhd, Datuk Anna Teo.

Symantha berkata, usaha sama Ladang Sindiyan dan Syarikat Hernan Corporation Sdn Bhd menyasarkan untuk menghasilkan 60,000 tan metrik durian setiap tahun.

“Usahasama ekslusif ini akan dapat memenuhi permintaan tinggi dunia terhadap durian Malaysia.

“Sebagai pengeksport dan pengeluar terbesar durian dan produk berasaskan durian, kami telah mengembangkan operasi di peringkat global untuk memenuhi permintaan durian di negara seperti Australia, China, Kanada, Indonesia, Jepun, Belanda, UK dan Amerika Syarikat.

“Dengan kepakaran lebin 40 tahun dalam kultivasi dan pengurusan ladang, kami amat mengambil berat aspek kualiti. Usaha sama ini akan membolehkan kami mencapai visi bagi menawarkan produk ladang terus ke meja penggemar durian, dengan mengekalkan kualiti dalam setiap peringkat huluan sehinggalah kepada pelanggan kami di peringkat hiliran.” katanya.

BH ONLINE