Pemalsuan kad pengenalan, 717 tangkapan antara 2020 hingga 2024

KUALA LUMPUR – Sebanyak 717 tangkapan dilaksanakan dalam operasi bersepadu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama pelbagai agensi penguatkuasaan sejak 2020 hingga 2024, bagi membanteras jenayah pemalsuan kad pengenalan dan memiliki kad pengenalan orang lain.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata daripada jumlah itu, 320 individu didakwa di mahkamah di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak termasuk pegawai yang terbabit dengan jenayah itu sama ada menjual dan memiliki kad pengenalan orang lain.

“Kita mempunyai tatacara, tatakelola dan peraturan ketat. Mana-mana pegawai yang melakukan kesalahan tetap diambil tindakan berasaskan kesalahan dilakukan.

“Kita tidak ada kompromi soal ini kerana ini dokumen penting negara, identiti negara sangat kita jaga terutama sekali pemberian secara tidak sah.

“Dalam soal penguatkuasaan, kita sentiasa tegas kerana pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang sangat diberi perhatian dan ia memberi impak besar kepada soal keselamatan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Shamsul Anuar menjawab soalan tambahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai garis masa spesifik bagi tindakan lebih agresif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjejaki individu termasuk pegawai yang terbabit dalam sindiket pasport dan kad pengenalan.

Selain itu, katanya, KDN dan JPN merancang memperkenalkan kad pengenalan struktur baharu dilengkapi ciri-ciri keselamatan lebih canggih seiring perkembangan teknologi terkini.

“Tujuannya (kad pengenalan baharu) adalah untuk memastikan dokumen pengenalan ini lebih sukar dipalsukan serta menjaga keselamatan negara dari sindiket pemalsuan ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang melaksanakan kajian mengenai infrastruktur privasi data rakyat sebelum kad pengenalan itu diperkenalkan.

BH ONLINE – BERNAMA