Penganggur, ibu tunggal didenda siar video Geng 36, Geng 04 di TikTok

JOHOR BAHRU – Seorang penganggur dan seorang ibu tunggal masing-masing didenda RM3,500 dan RM2,000 oleh dua Mahkamah Majistret berasingan di sini, hari ini, atas tuduhan menyiarkan video Geng 36 dan Geng 04 di aplikasi TikTok, awal bulan ini.

Tertuduh, R Elaango, 33, dan Tan Lee Sim, 41, masing-masing turut diperintahkan dipenjara dua dan enam bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Di hadapan Majistret A Shaarmini, Elaango mengaku bersalah menyiarkan dokumen berbentuk video dalam TikTok miliknya bagi kepentingan sesuatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu Geng 36.

Di mahkamah berasingan, di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, Lee Sim mengaku bersalah melakukan perbuatan sama bagi kepentingan sesuatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu Geng 04.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor kira-kira jam 11.30 malam, 3 Mac lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa dan R Nevina, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mu’adz Zulkarnain.

Mu’adz memohon hukuman ringan terhadap dua anak guamnya yang berdepan masalah kewangan.

“Elaango dalam proses mencari pekerjaan untuk menanggung ibunya, manakala Lee Sim yang bekerja di kilang perlu menanggung anak berusia 17 tahun yang mahu melanjutkan pelajaran dengan pendapatan RM1,800 sebulan,” katanya.

BH ONLINE