Penjawat awam direman lima hari bantu siasatan minta rasuah RM3,000

KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dakwaan meminta rasuah RM3,000 sebagai balasan mendaftarkan pusat jagaan milik sebuah syarikat.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 30-an itu dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Sumber berkata, suspek ditahan kira-kira jam 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara Julai hingga September 2023.

“Suspek juga disyaki menerima suapan melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa pusat jagaan lain turut dipanggil pada masa terdekat untuk membantu siasatan.

BH ONLINE