Tag: drinks

  • Resipi Ramadan: 40 balang 40 rasa

    “Seawal jam 4 pagi, saya memulakan kerja memasak air, membuat air gula dan bancuhan perisa untuk menyediakan 40 balang air (minuman) yang dijual setiap hari,” kata Muhammad Fahmi Sulaiman, 28, yang menjalankan perniagaan air balang di Bazar Ramadan Chabang Tiga, dekat Kuala Terengganu, Terengganu.

    Muhammad Fahmi berkata, pelbagai cabaran perlu dilalui bagi menyediakan 40 perisa minuman berlainan menggunakan pelbagai bahan dan campuran selain menggunakan 200 beg ais setiap hari.

    Katanya, dia turut menggunakan 172 liter air gula sebagai pemanis kepada minuman tertentu yang memerlukan penggunaan air gula sebagai bahan campuran.

    “Selain itu, 10 tenaga kerja digunakan yang mana tiga orang membantu saya di rumah untuk kerja-kerja awal manakala tujuh lagi akan membantu untuk menjual air balang di bazar Ramadan.

    “Tahun lalu saya hanya menjual 26 jenis air balang namun tahun ini saya menambah sehingga menjadi 40 balang air (minuman) pelbagai perisa.

    “Setiap balang airnya berlainan dan tahun hadapan saya berhajat untuk menambah 20 balang lagi menjadikan 60 balang keseluruhannya,” katanya yang berasal dari Kampung Kuala Ibai.

    Menurutnya, kerja hakikinya setiap hari iaitu menjual air balang di Taman Awam Lagun Kuala Ibai dan pengalaman sepanjang sembilan tahun berniaga air balang setiap hari membolehkannya menyediakan minuman dengan pelbagai perisa dalam kuantiti yang banyak.

    Katanya, kalau ikutkan sememangnya letih kerana setiap hari perlu membancuh 40 perisa air dan selain itu perlu ke pasar basah dan pasar raya bagi mendapatkan barangan untuk membuat air.

    Muhammad Fahmi berkata, namun lelahnya terubat apabila air balang yang dijual mendapat sambutan pengunjung di bazar bekenaan selain ia adalah satu kelainan kerana menyediakan pelbagai jenis air balang dalam jumlah yang banyak.

    “Air balang ini dijual dengan harga segelas RM2 namun untuk tiga gelas saya hanya menjual RM5 manakala bagi yang dibungkus di dalam plastik sebungkus RM3 manakala dua bungkus hanya RM5.

    “Dengan harga serendah ini dapat meringankan beban pengguna terutama yang mempunyai anak ramai selain mereka dapat merasa pelbagai jenis air yang diinginkan.

    “Contohnya, bagi yang membeli tiga gelas mereka boleh memilih tiga jenis air berlainan untuk dinikmati,” katanya.

    Katanya, bagi menyediakan 40 perisa air berlainan memerlukan kesabaran dan dia terpaksa membuat senarai malah setiap jenis air yang siap dibancuh akan ditanda bagi mengelak daripada mengulangi perisa sama.

    Katanya, air yang sering menjadi pilihan dan antara yang cepat habis serta perlu dibancuh lebih tiga hingga empat kali ketika berniaga ialah asam boi, blue lemon, soda mangga dan coklat.

    Tambahnya, antara minuman yang dicipta sendiri adalah strawberi yogurt, jambu asam boi padu dan laici kang padu. BH