KUALA LUMPUR – Warga asing yang ingin mendapatkan pekerjaan dan menetap di negara ini, dikesan sanggup membeli kad pengenalan, MyKad palsu yang ditawarkan sindiket pada harga dari RM4,000 hingga RM5,000 sekeping.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata maklumat itu diperoleh hasil risikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang kini menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti sindiket pemalsuan kad pengenalan dalam negara.
“Melalui hasil risikan yang dibuat JPN, terdapat penawaran kad pengenalan palsu dibuat dengan harga sekitar RM4,000 hingga RM5,000.
“Kebanyakan permintaan ini datangnya daripada warga asing yang ingin mendapatkan pekerjaan dan menetap di Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab, di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang meminta menteri dalam negeri menyatakan sejauh manakah langkah pemantauan serta tindakan penguatkuasaan diambil terhadap sindiket pemalsuan MyKad.
Pada masa sama, Shamsul Anuar berkata, JPN melaksanakan pemantauan berterusan bagi mengesan sebarang aktiviti mencurigakan termasuk penjualan kad pengenalan palsu atau perkhidmatan pemalsuan identiti secara atas talian.
Beliau berkata, pemantauan itu membabitkan semua platform media sosial antaranya Facebook, Instagram, Telegram dan TikTok bagi memastikan sebarang aktiviti haram dapat dikesan dan ditangani dengan segera.
“Berdasarkan hasil risikan itu, JPN giat menjalankan pemantauan dan melaksanakan kerjasama dengan pihak penguatkuasa yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Selain itu, JPN juga giat melaksanakan kempen kesedaran untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan pengetahuan orang awam mengenai kepentingan menjaga dan melindungi dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan JPN,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai boleh dikenakan hukuman mengikut Perkara 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 bagi kesalahan memiliki kad pengenalan palsu atau kad pengenalan selain daripada kepunyaannya.
Katanya, bagi kesalahan itu, mereka boleh dikenakan denda maksimum berjumlah RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Orang ramai juga boleh membuat aduan kepada saluran rasmi JPN atau di 210 cawangan JPN diseluruh negara bagi melaporkan aktiviti penawaran kad pengenalan secara tidak sah ini,” katanya.
BH ONLINE